
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (15 Julai) media melaporkan insiden seorang pelajar tahun satu uang meninggal dunia dipercayai dilanggar bas sekolah di Jalan Bunga Raya 3, di Taman Sri Lanang, Kluang, Johor.
Cuma berfikir sakit dialami oleh anaknya ketika dilanggar bas, bapa tak sanggup lihat keadaan Muhammad Umar
Terbaharu media melaporkan bapanya, Mohd Faaiz Muran berusia 35 tahun gagal menahan sebak sewaktu majlis pengebumian arwah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lanang.
Menurut Mohd Faaiz ketika melihat anak lelakinya di bilik mayat, apa yang terlintas cuma bagaimana kesakitan yang dialami tubuh kecil itu selepas dilanggar bas pada petang semalam.
“Saya tak tahu macam mana kesakitan dialami bila melihat jenazahnya. Saya tak sanggup lihat keadaannya,” jelas bapa mangsa, lapor Berita Harian.
Jenazah Muhammad Umar telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Lanang pada hari ini (16 Julai).
Bapa tahu mengenai kemalangan menimpa arwah pada jam 4.30 petang, arwah tunjuk perubahan beberapa hari sebelum insiden
Menjelaskan mengenai insiden yang berlaku, Faaiz berkata dia dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anaknya pada jam 4.30 petang dan dia yang sedang bekerja di Selangor kemudiannya segera pulang.
Faaiz turut mengatakan arwah menunjukkan perubahan beberapa hari sebelum insiden dan ini termasuklah bermanja dengannya.
Kata Faaiz berbanding hari kebiasaannya, tingkah laku umar berubah tetapi si bapa itu tidak menyangka perkara itu adalah petanda terakhir yang anaknya akan meninggal dunia.
Arwah minta bapa dukung dan peluk
“Isnin lalu, arwah minta saya dukung, peluk sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan sedemikian.
“Malah, arwah juga meminta bermacam-macam termasuk membeli basikal. Dia janji pada saya nak belajar bersungguh-sungguh, sebab itulah saya terlalu sedih apabila mengenang kembali Umar.
“Mujurlah saya sempat memenuhi sebahagian besar permintaan. Saya sepatutnya pulang ke sini (Taman Sri Kluang) esok dan bercadang membawanya bersiar-siar bersama adik perempuan kembar.”
Keluarga mangsa tak salahkan pemandu bas
Faaiz bagaimanapun menjelaskan dia dan keluarga tidak menyalahkan pemandu bas berkenaan dan menyifatkan apa yang berlaku merupakan takdir.
Jenazah Muhammad Umar telah dikebumikan pada jam 2.15 petang sebaik proses bedah siasat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selesai.
Ibu arwah Muhammad Umar, Nurul Shahira Salim berusia 35 tahun juga cuba ditenangkan oleh ahli keluarga yang berada di tanah perkuburan.
Murid tahun satu meninggal dunia di tempat kejadian
Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh insiden tersebut berlaku sekitar 4.20 petang, mangsa, Muhammad Umar Mohd Faaiz meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
Berdasarkan siasatan awal mendapati sebuah bas sekolah jenis Hino yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan berusia 36 tahun telah menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya sebelum insiden berlaku.
Awalnya pemandu bas turunkan mangsa di Jalan Bunga Raya sebelum insiden dilanggar
“Siasatan awal mendapati sebuah bas sekolah jenis Hino yang dipandu wanita tempatan berusia 36 tahun telah menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya.
“Bagaimanapun, selepas menurunkan pelajar terbabit, bas sekolah itu membelok ke Jalan Bunga Raya 3 sebelum dipercayai melanggar mangsa yang berada di sebelah kiri jalan berkenaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Menurut Bahrin ekoran daripada pelanggaran tersebut, pelajar tahun satu terbabit jatuh ke atas jalan serta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu bas pengsan kerana terkejut
Pemandu bas berkenaan pula dipercayai telah pengsan akibat terkejut sebaik melihat insiden itu dan turut menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





