MARANG - Kehadiran sotong di pesisir Pantai Seberang Marang di sini mencetuskan fenomena luar biasa apabila kawasan itu kini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin merasai pengalaman menjala dan mencandat hanya dari tepi pantai.
Menurut penduduk, Zulkifli Abdullah, 63, meskipun kehadiran sotong di kawasan darat berlaku hampir setiap tahun, namun jumlah kali ini disifatkan paling banyak dan luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Sotong sebenarnya memang setiap tahun 'singgah' di sini, cuma biasanya tak lama, dalam seminggu atau dua minggu sahaja. Musimnya pula tidak menentu. Biasanya sotong berada di tengah laut, tetapi kali ini ia mendarat hingga ke pesisir pantai.
"Ada yang boleh dapat sehingga tiga ke empat kilogram (kg) seorang dengan hanya menjala di sini, dan anggaran keseluruhan tangkapan boleh mencecah 20kg," katanya yang berpengalaman sebagai nelayan selama 50 tahun.
**media[3488083]**
Zulkifli berkata, kawasan berkenaan menjadi tumpuan selepas tular di media sosial sehingga menyebabkan orang ramai 'menyerbu' pantai itu untuk mencuba nasib.
Sementara itu, seorang peniaga, Azharuddin Mohd, 48, pula menyifatkan suasana di pantai tersebut cukup meriah apabila orang ramai berlumba-lumba mencari rezeki tambahan yang jarang berlaku sebelum ini.
"Fenomena ini memang pertama kali berlaku sebegini meriah. Tahun lalu biasanya orang menjala ikan sahaja, tapi sekarang ini pun nampak seperti ada udang putih dan orang lebih fokus kepada sotong.
"Hasil yang diperoleh ini kalau untuk makan bersama keluarga memang cukup, tetapi kalau untuk dijual itu mungkin belum sampai ke tahap itu lagi," katanya.
**media[3488084]**
Bagi pengawal keselamatan, Mohd Zubir Nawi, 45, yang menetap di Kuala Ibai, beliau menyedari kehadiran sotong yang banyak di kawasan itu bermula sejak selepas sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
"Aktiviti menjala udang memang biasa di sini, tetapi tahun ini meriah sikit dengan kehadiran sotong.
"Walaupun tahun-tahun lepas ada juga sotong, tapi jumlahnya tidak sebanyak kali ini," jelasnya.
Sementara itu, seorang remaja dari Bukit Payong, Syazren Afendi Abdullah, 18, tidak melepaskan peluang untuk hadir selama dua hari berturut-turut bagi merasai sendiri fenomena tersebut.
"Hari ini alhamdulillah, hasil agak baik berbanding semalam. Semalam saya hanya dapat tiga ekor.
"Hari ini nampak macam ada rezeki lebih sikit yang boleh dibawa balik untuk dimasak," katanya.
Nada yang sama turut dikongsi Husein Zaid, 60, dari Kampung Rhu Rendang yang baru pertama kali hadir ke lokasi tersebut selepas mendengar khabar mengenai kehadiran sotong yang banyak.
"Saya baru datang hari ini untuk cuba nasib. Memang nampak lain sikit tahun ini, jumlah sotong yang ada nampak luar biasa berbanding tahun sudah," ujarnya.


