
ANKARA: Beberapa pegawai keselamatan Israel memberi amaran bahawa retorik politik berunsur keganasan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz terhadap Turkiye boleh membawa kepada peningkatan ketegangan yang tidak perlu, menurut media Yahudi.
Amaran itu dibuat ketika rejim Netanyahu meningkatkan retoriknya terhadap Ankara menjelang pilihan raya Israel yang dijadualkan pada 27 Oktober, lapor saluran televisyen Channel 12 di negara haram itu pada Jumaat.
Menurut penyiar itu, beberapa pegawai keselamatan lebih cenderung supaya pertikaian dengan Turkiye tidak dibawa ke arah konfrontasi awam yang lebih meluas.
Netanyahu dan parti Likud pimpinannya semakin kerap menjadikan Turkiye dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai sebahagian daripada retorik dan kempen pilihan raya mereka.
Channel 12 berkata tentera Israel menggesa supaya serangan dilancarkan pada awal pagi Selasa terhadap pangkalan udara tentera Abu al-Duhur di barat laut Syria, yang terletak kira-kira 70 kilometer dari sempadan Türkiye.
Namun, menurut penyiar itu, beberapa pegawai keselamatan mahu serangan tersebut tidak mendapat perhatian umum dan tidak disebut dalam kenyataan rasmi bagi mengelakkan keadaan berkembang menjadi konfrontasi langsung dengan Ankara.
Menurut laporan itu lagi, para pegawai berkenaan turut tidak bersetuju dengan kenyataan awam yang keras yang dikeluarkan Netanyahu dan Katz selepas serangan tersebut.
Ia kemudian memasuki episod baharu apabila Turkye dan Israel saling berbalas kecaman pada Jumaat selepas Ankara mengumumkan bahawa ia telah memohon waran tangkap antarabangsa terhadap Netanyahu, dengan menuduhnya melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai berkaitan tindakan memintas flotila bantuan yang menuju ke Gaza.
Turkiye menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap perang Israel di Gaza yang tercetus susulan serangan kumpulan Islam Palestin Hamas pada 7 Oktober 2023.
Erdogan sering menuduh Netanyahu melakukan genosid.
Tindakan Israel memintas flotila yang membawa kira-kira 430 aktivis pada Mei mencetuskan kecaman antarabangsa. Perancis, Itali dan Australia turut memulakan prosiding undang-undang.
Dalam satu kenyataan, pejabat Netanyahu berkata Israel tidak terkesan dengan tindakan Turkiye
“Erdogan ialah diktator antisemitik yang membunuh orang Kurdis secara beramai-ramai, menyokong pembunuhan oleh organisasi Hamas dan menindas rakyatnya sendiri,” tambah kenyataan itu.
Pejabat Netanyahu turut berkata, Israel akan terus bertindak tegas terhadap usaha Turkiye untuk menggugat kestabilan rantau Asia Barat yang dipercayai merujuk kepada tuduhan sebelum ini bahawa Ankara cuba mewujudkan kehadiran ketenteraan di Syria.
Pihak berkuasa Syria berkata, Israel mengebom sebuah pangkalan udara berhampiran sempadan Turki minggu ini.
Turki segera membalas, dengan pejabat Erdogan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai kenyataan mengarut yang keterlaluan.
Dengan merujuk kepada pilihan raya akan datang yang boleh menentukan masa depan politik Netanyahu, pejabat itu menambah: “Politik murahan Netanyahu dan sekutunya seperti ini, yang juga bertujuan memberinya kelebihan pilihan raya, sama sekali tidak mempunyai nilai.”
The post Muslihat Netanyahu jadikan Erdogan ‘kambing hitam’ sebelum pilihan raya Israel appeared first on Utusan Malaysia.



