Netanyahu mungkin burukkan konflik Gaza demi tangguh pilihan raya

WorldPolitics
23 Aug 2026 • 1:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Netanyahu mungkin burukkan konflik Gaza demi tangguh pilihan raya

TEL AVIV: Pegawai kanan tentera Israel mengesyaki Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mungkin cuba mencetuskan ketegangan di Gaza dalam usaha mengganggu atau menangguhkan pilihan raya parlimen yang bakal berlangsung.

Akhbar harian Israel, Maariv, memetik penilaian dalam kalangan pegawai tertinggi tentera Israel yang menunjukkan Netanyahu tidak mahu konflik sedia ada berakhir. Sebaliknya, beliau didakwa cuba mencetuskan gelombang ketegangan baharu di Gaza ketika tarikh pilihan raya semakin hampir.

Berdasarkan laporan tersebut, pihak kepimpinan tentera semakin bimbang berhubung pertimbangan politik yang mungkin mempengaruhi keputusan operasi ketenteraan seterusnya.

Pegawai tentera menegaskan pihak tentera tidak berhasrat untuk diheret ke dalam satu lagi konflik tanpa keperluan keselamatan yang jelas.

“Kami tidak akan terlibat dalam peperangan baharu yang tidak perlu,” kata pegawai berkenaan.

Kebimbangan yang dilaporkan ini timbul di tengah perdebatan yang semakin hangat di Israel mengenai cara Netanyahu mengendalikan pelbagai medan konflik, selain tuduhan daripada pihak pembangkang beliau menggunakan isu keselamatan demi kepentingan politik menjelang pilihan raya.

Baru-baru ini, Netanyahu turut meningkatkan retorik penentangan terhadap Turkiye berikutan serangan tentera Israel ke atas pangkalan udara tentera Abu al-Duhur di utara Syria.

Tokoh pembangkang Israel, termasuk bekas Perdana Menteri, Ehud Barak, dan pemimpin parti Demokrat, Yair Golan, menuduh Netanyahu sengaja mencetuskan ketegangan dengan Ankara atas pertimbangan politik.

Dalam pada itu, pegawai keselamatan Israel dilaporkan memberi amaran berhubung ketegangan tidak perlu dengan Turkiye. Mereka turut meluahkan kebimbangan kenyataan terbuka daripada Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, boleh memarakkan lagi pertikaian berkenaan.

Perselisihan antara tentera dan Perdana Menteri itu berlaku ketika Netanyahu berdepan laluan sukar menjelang pilihan raya. Tinjauan pendapat terkini menunjukkan blok gabungan pimpinannya gagal mendapat majoriti parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Israel dijadualkan mengadakan pilihan raya parlimen pada Oktober ini. -AGENSI

The post Netanyahu mungkin burukkan konflik Gaza demi tangguh pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved