Muslim Pro kerjasama dengan Bettr, lancar pembiayaan Umrah patuh Syariah di Malaysia

LocalPersonal Finance
10 Aug 2026 • 1:19 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Muslim Pro kerjasama dengan Bettr, lancar pembiayaan Umrah patuh Syariah di Malaysia

Bettr, penyedia penyelesaian kewangan di bawah Ant International, baru sahaja mengumumkan kerjasama dengan Muslim Pro bagi melancarkan perkhidmatan pembiayaan Umrah khusus untuk pengguna di Malaysia.

Kemudahan ini disasarkan kepada umat Islam yang layak dan mempunyai kemampuan untuk menunaikan Umrah, tetapi ingin mengurus kos perjalanan dengan lebih fleksibel melalui bayaran ansuran. Menurut kedua-dua syarikat, inisiatif ini bertujuan membantu pengguna mengurus aliran tunai dengan lebih baik tanpa menjejaskan simpanan atau komitmen kewangan lain.

Mohon pembiayaan Umrah terus dalam aplikasi Muslim Pro

Melalui aplikasi Muslim Pro, pengguna yang layak boleh melihat pakej Umrah daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian serta memohon pembiayaan secara digital. Pengguna juga boleh memilih tempoh bayaran balik antara 12 hingga 24 bulan, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Selain itu, pembiayaan boleh diselesaikan lebih awal mengikut terma yang berkuat kuasa.

Pakej yang ditawarkan merangkumi pilihan standard hingga premium, sama ada untuk individu atau sekeluarga. Bergantung kepada pakej yang dipilih, ia boleh meliputi tiket penerbangan, penginapan, makanan serta pengangkutan darat sepanjang berada di Tanah Suci.

Struktur pembiayaan patuh Syariah

Pembiayaan ini menggunakan struktur Tawarruq (Commodity Murabahah) yang mematuhi prinsip kewangan Islam. Proses transaksi dijalankan menerusi AS-SIDQ, platform dagangan komoditi digital milik SEDANIA As Salam Capital,dengan struktur pembiayaan disahkan oleh Masryef Advisory Sdn. Bhd.

Menurut Bettr, pembiayaan ini diwujudkan untuk membantu pengguna yang benar-benar mempunyai kemampuan membayar balik, selaras dengan prinsip Islam yang menekankan agar ibadah haji atau umrah tidak membebankan kewangan keluarga.

Direka untuk membantu pengguna mengurus aliran tunai

Bettr berkata pembiayaan ini membolehkan pengguna menyebarkan kos Umrah kepada bayaran ansuran yang lebih mudah diurus, sekali gus membantu mengekalkan simpanan dan dana kecemasan tanpa mengganggu komitmen kewangan sedia ada.

Bagi menilai kelayakan setiap pemohon, Bettr menggunakan model penilaian risiko kredit bagi mengukur kemampuan pembayaran balik. Syarikat itu turut berkata privasi serta keselamatan data pengguna menjadi antara keutamaan dalam proses permohonan.

Pendekatan ini juga membolehkan Bettr menawarkan pembiayaan kepada kumpulan pengguna yang lebih luas, termasuk pekerja gig dan pemilik perniagaan kecil, selagi mereka memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Kenapa perkhidmatan ini diperkenalkan?

Menurut Ant International, inisiatif ini dibuat seiring dengan peningkatan penggunaan platform digital dalam kalangan komuniti Islam di seluruh dunia. Dengan kira-kira 2 bilion umat Islam di seluruh dunia, termasuk sekitar 22 juta orang di Malaysia, permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang disepadukan ke dalam aplikasi digital dijangka terus meningkat.

Di Malaysia sendiri, kebanyakan pengembara Umrah berusia antara 30 hingga 50 tahun, menyara isi rumah seramai 2 hingga 5 ahli. Bagi kebanyakan mereka, kos umrah biasanya sudah dirancang dan disimpan lebih awal, dan pembayaran secara fleksibel ini membantu menampung baki kekurangan, tanpa menjejaskan komitmen kewangan lain yang sedia ada.

Bagaimanapun, berdasarkan semakan dalam aplikasi, ciri pembiayaan ini masih belum tersedia buat masa ini. Kenyataan rasmi juga tidak mendedahkan tarikh sebenar ia akan mula ditawarkan, jadi berkemungkinan ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web Muslim Pro.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved