
ARAU: UMNO Perlis tidak ada sebarang perbincangan dalam soal kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan akan bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pendirian bergerak solo dalam PRU16 di Perlis adalah atas kehendak majoriti ahli parti dan akar umbi dengan selebihnya terserah kepada pucuk kepemimpinan tertinggi parti.
Katanya, UMNO Perlis akan terus melaksanakan gerak kerja di semua 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri ini.
“Ada pihak hubungi saya hendak jumpa (kerjasama) tapi masih terlalu awal dan pendirian UMNO Perlis ketika ini bergerak sendiri dalam PRU16, itu kehendak ahli parti.
“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti termasuk PN. Memandangkan kita tidak ada sebarang kerusi dalam pilihan raya lepas, maka kita turun buat kerja di semua DUN dan Parlimen.
“Hala tuju serta panduan itu sangat jelas bagi UMNO Perlis untuk terus bekerja di semua DUN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik di sini semalam.
Rozabil berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menjalinkan kerjasama dengan PN bagi pilihan raya di Negeri Sembilan.
“UMNO belum memutuskan apa-apa pakatan secara rasmi sebaliknya hanya kerjasama dengan parti yang dirasakan sesuai dalam sesuatu pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Rozabil berkata, melihat kepada momentum di Johor dan Negeri Sembilan, ramai yang menunjukkan keinginan untuk melihat BN kembali memerintah Perlis seperti dahulu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau turut berharap rakyat dapat menerima kembali UMNO di Perlis.
“Kita tidak sempurna dan ada kelemahan, namun jika hendak dibandingkan kerajaan PN ketika ini jauh berbeza dengan kerajaan BN dahulu. Kita harap rakyat boleh terima UMNO.
“Dengan barisan kepemimpinan baharu UMNO di Perlis dan semua tiga bahagian, kita berazam untuk menang semula dalam pilihan raya akan datang,” katanya.-UTUSAN
The post UMNO Perlis gerak solo berdepan PRU16 appeared first on Utusan Malaysia.






