Musyawarah Nasional didaftar sebagai NGO, bukan gabungan parti politik

LocalPolitics
10 May 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Musyawarah Nasional didaftar sebagai NGO, bukan gabungan parti politik
Ahmad Zahid bersama Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan tetamu pada majlis Musyawarah Nasional yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Image from: Musyawarah Nasional didaftar sebagai NGO, bukan gabungan parti politik
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Musyawarah Nasional tidak akan didaftarkan sebagai gabungan parti politik di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sebaliknya beroperasi sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan fikrah dan aspirasi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, platform itu bukan milik mana-mana individu, kelompok atau parti politik.

**media[3516077]**

"Ia milik semua yang ikhlas mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, bermaruah dan tersusun agar terus berjaya membangun di tanah air. Oleh itu, sekretariat tetap Musyawarah Nasional hendaklah segera mengambil tindakan tersebut.

"Kita semua mahu melihat Musyawarah Nasional menjadi sebuah wadah yang tersusun, sah, berwibawa dan berterusan. Ia tidak boleh sekadar menjadi majlis sehari, seminggu, sebulan atau setahun, tetapi mesti berkembang sebagai gerakan jangka panjang yang konsisten serta bermakna," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Musyawarah Nasional bertemakan ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya’ di sini pada Ahad.

Musyawarah Nasional merupakan sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin politik, tokoh ilmuwan, pemimpin masyarakat serta agensi kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata, beliau bersedia untuk menyatukan entiti bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Jelasnya, organisasi itu mesti disatukan dan jangan berlawan atau bersaing sesama sendiri.

"Mesti ada penyatuan, kalau Perdana Menteri bagi kepercayaan kepada saya, saya sanggup untuk menyatukan mereka semua dalam satu high level council.

"Dalam masa sama, kita mesti melahirkan lebih ramai juara bumiputera dalam sektor strategik," ulasnya.