Musyawarah Nasional fokus lima teras utama - Ahmad Zahid

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Musyawarah Nasional yang diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan memfokuskan kepada lima teras utama sebagai asas perbincangan dalam merangka hala tuju masa depan umat Melayu dan negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu menjadi wadah penting untuk menghimpunkan pemikiran, pandangan dan cadangan strategik daripada pelbagai lapisan masyarakat Melayu.

"Musyawarah Nasional ini bukan sekadar satu wacana biasa, sebaliknya merupakan usaha bersama untuk mencari titik temu, merumus penyelesaian dan membina konsensus nasional.

"Ia bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa yang menyentuh kepentingan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan serta politik orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Musyawarah Nasional tersebut dipengerusikan oleh tokoh terkemuka, Tan Sri Abdul Ghani Othman yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan dunia korporat.

Jelasnya, lima teras utama ditetapkan meliputi aspek agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial bagi memastikan perbincangan berlangsung secara tersusun dan menyeluruh.

“Teras agama akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan memperkasa kefahaman dan pengamalan Islam yang sederhana serta progresif dalam masyarakat," katanya.

Tambah beliau, teras politik pula akan menilai dinamika semasa dan merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik serta kematangan demokrasi negara.

Ahmad Zahid memaklumkan, teras ekonomi akan membincangkan strategi memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu agar lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.

Ujarnya, teras pendidikan akan meneliti agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti dan peningkatan keupayaan generasi masa depan.

Menurut beliau lagi, teras sosial pula memberi perhatian kepada kesejahteraan sosial, perpaduan masyarakat, pembinaan nilai dan budaya serta pengukuhan institusi keluarga dan komuniti.

"Saya yakin dengan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa sebagai pengerusi teras serta penyertaan pelbagai pihak termasuk akademia, pemimpin masyarakat, profesional, golongan muda dan badan-badan bukan kerajaan, Musyawarah Nasional ini mampu menghasilkan rumusan yang konstruktif, realistik dan berpandangan jauh demi masa depan negara," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar menyertai dan menyumbang pandangan secara terbuka, matang dan bertanggungjawab supaya Musyawarah Nasional dapat menjadi satu platform penting dalam memperkukuh kesatuan, memperkasa agenda bangsa dan membina masa depan Malaysia lebih sejahtera.