PONTIAN - Konsep Rumah Bangsa dan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera merupakan dua perkara berlainan dengan tujuan berbeza.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Rumah Bangsa merupakan inisiatif dalaman UMNO yang bertujuan menyatukan semula ahli parti yang dipecat, digantung atau meninggalkan parti, manakala Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera melibatkan perbincangan antara parti-parti lain mengenai isu-isu Islam, Melayu dan bumiputera.
"Saya hadir Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 5 Mac lalu.
"Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit pertemuan itu ialah Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
"Perbincangan dalam mesyuwarah melibatkan isu-isu ekonomi, industri halal, pendidikan, kemahiran bumiputera Islam serta sokongan terhadap perjuangan Palestin," katanya selepas ziarah Ramadan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada Jumaat.
Sebelum ini, Pas dilaporkan tidak bersedia menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan oleh UMNO kerana disifatkan sebagai struktur politik yang tidak selamat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gagasan yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diibaratkan seperti perlindungan yang rosak dan tidak mampu melindungi pihak yang berada di bawahnya
Beliau berkata, Pas sebelum ini menghantar pemerhati ke satu pertemuan berkaitan inisiatif berkenaan bagi melihat sendiri pihak yang terlibat selepas menerima jemputan daripada penganjur.
Namun menurut Abdul Hadi, pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menghimpunkan perpaduan Melayu berasaskan semangat kebangsaan semata-mata tanpa menjadikan Islam sebagai teras.
