Muzium Tekstil Merdeka: Memelihara warisan untuk generasi akan datang

6 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Muzium Tekstil Merdeka: Memelihara warisan untuk generasi akan datang

PRESINT Merdeka 118 kini semakin terserlah sebagai lebih daripada sekadar sebuah destinasi baharu di Kuala Lumpur. Nadi utamanya ialah sebuah presint bertaraf dunia yang berteraskan warisan Malaysia, menghimpunkan budaya, komersial, hospitaliti dan pelancongan dalam satu destinasi.

Hubungan dengan warisan ini bermula dengan dua mercu tanda negara yang amat signifikan, Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Menambah kekayaan budaya di presint ini ialah Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang baru dibuka. Terletak di Look at 118, bersebelahan Stadium Merdeka yang bersejarah, MTM didedikasikan untuk memelihara dan meraikan tradisi tekstil Alam Melayu, di samping menyemarakkan penghargaan terhadap warisan ini.

Menerusi perspektif Allahyarham Puan Azah Aziz, yang koleksi tekstil, busana dan barang kemasnya menjadi sumber inspirasi muzium, MTM meneroka tekstil bukan sahaja dari segi keindahan dan kehalusan pertukangannya, malah melalui kisah masyarakat, budaya dan sejarah di sebaliknya.

Menelusuri Lapan Galeri

Muzium ini menampilkan lapan galeri bertema yang diinspirasikan oleh Bunga Pecah Lapan, motif bunga berkelopak lapan yang lazim ditemukan dalam tekstil Melayu. Setiap galeri mengetengahkan sisi berbeza tekstil Alam Melayu, daripada hubungan eratnya dengan alam semula jadi dan budaya benda, hinggalah pengaruh perdagangan dan pertukaran budaya yang berlangsung sejak berabad-abad lamanya.

Sepanjang perjalanan meneroka muzium, pengunjung akan mendapati bahawa tekstil mampu menyampaikan cerita yang jauh melangkaui kehalusan pertukangannya. Motif, corak dan warna mencerminkan identiti, kedudukan sosial dan makna tertentu, manakala teknik seperti tenunan, ikat-celup, cap blok, tahan lilin, cap daun emas serta sulaman mencerminkan kemahiran dan kesenian yang diwarisi sejak turun-temurun.

Tekstil turut menjadi lambang kekuasaan dan kerohanian, daripada tengkolok dan Songket Limar yang dikaitkan dengan pangkat dan kemewahan, hinggalah Cindai dan Limar Ayat yang sarat dengan makna perlambangan dan kerohanian.

Perjalanan ini kemudiannya membawa pengunjung ke masa kini dan masa depan tekstil. Busana tradisional seperti Baju Kurung, Baju Kebaya dan Baju Melayu memperlihatkan bagaimana tradisi ini terus dipakai dan diberi tafsiran baharu sehingga hari ini, manakala galeri terakhir memberi tumpuan kepada kelestarian, teknologi, reka bentuk kontemporari serta bahan-bahan baharu.

Image from: Muzium Tekstil Merdeka: Memelihara warisan untuk generasi akan datang
Galeri 5 Muzium Tekstil Merdeka – Kuasa dan Politik

Pendekatan Imersif terhadap Warisan

Muzium Tekstil Merdeka turut dibangunkan dengan mengambil kira generasi baharu pengunjung muzium. Selain paparan tradisional, artifak autentik digabungkan dengan penceritaan digital, imersif dan pelbagai deria. Pengunjung dapat menikmati pengalaman yang melibatkan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan dan bau, di samping elemen interaktif yang membantu mereka memahami objek yang dipamerkan dalam konteks sejarah dan budaya yang lebih luas.

Pendekatan ini mencerminkan aspirasi muzium untuk menjadi sebuah muzium tekstil tercanggih di Asia, di samping menyumbang kepada pendidikan mengenai tekstil Alam Melayu di peringkat global.

Ia juga bertujuan menyemarakkan kembali penghargaan terhadap seni tradisional, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengunjung antarabangsa.

MTM Shop

Pengalaman di Muzium Tekstil Merdeka diteruskan di MTM Shop, yang direka sebagai sebuah platform untuk merangsang dan menyokong ekosistem artisan serta kraf tradisional Malaysia. Pilihan produknya yang disusun secara teliti mengetengahkan hasil karya Adiguru, artisan mahir dan penggiat kraf tempatan dari seluruh Malaysia, di samping barangan eksklusif MTM yang direka untuk menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Selaras dengan komitmennya terhadap hasil pertukangan Malaysia, 80 peratus produk di MTM Shop diperoleh daripada sumber tempatan, manakala baki 20 peratus menampilkan pilihan hasil artisan serantau. Dengan pelbagai pilihan barangan pada julat harga yang berbeza, MTM Shop membolehkan setiap pengunjung membawa pulang kenang-kenangan bermakna daripada muzium, sambil menyumbang kepada usaha menghargai dan memelihara kekayaan warisan kraf Malaysia.

Menurut Datuk Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures (PNBMV), Muzium Tekstil Merdeka mengukuhkan kedudukan Merdeka 118 sebagai sebuah ikon budaya dan sivik.

“Sebagai penjaga warisan negara dan pemelihara legasi, aspirasi kami adalah untuk membangunkan sebuah presint bertaraf dunia dengan daya tarikan global, namun tetap berakar umbi pada identiti Malaysia.

“Muzium ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut dengan memperkayakan presint ini melangkaui penawaran komersialnya melalui warisan, di samping menggalakkan pengunjung untuk meluangkan lebih banyak masa, meneroka dengan lebih mendalam dan menikmati pelbagai dimensi Presint Merdeka 118,” katanya.

Image from: Muzium Tekstil Merdeka: Memelihara warisan untuk generasi akan datang
Allahyarham Puan Azah Aziz

Legasi Azah Aziz

Turut menjadi teras kepada muzium ini ialah hasil kajian dan kecintaan Allahyarham Puan Azah Aziz terhadap tekstil Melayu, busana dan warisan budaya. Dedikasi sepanjang hayat beliau dalam bidang ini menjadi antara asas penting kepada muzium.

Koleksi peribadi beliau yang luar biasa, yang disumbangkan oleh keluarganya kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB), merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan kemas tradisional, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas.

Koleksi ini mencerminkan pendekatan Azah Aziz dalam mengkaji tekstil dalam konteks budaya, sejarah dan masyarakat Melayu yang lebih luas. Hasil karya beliau, termasuk penerbitan pentingnya, Rupa & Gaya: Busana Melayu, berserta rujukan daripada kesusasteraan klasik Melayu, turut membentuk cara muzium mempersembahkan dan mentafsir tekstil Alam Melayu. Pengunjung yang ingin mendalami karya beliau juga boleh mendapatkannya di MTM Shop.

Bagi memastikan pengalaman lawatan yang lebih lancar ke Muzium Tekstil Merdeka, pengunjung digalakkan untuk menempah slot lawatan secara dalam talian di merdekatextile.com dan kemudian mendapatkan tiket di kaunter MTM Shop.

Bagi fasa pengenalan dan untuk tempoh terhad, kemasukan ke muzium adalah RM20 bagi pemegang MyKad dan RM50 bagi bukan pemegang MyKad, manakala pelajar dan warga emas boleh menikmati kemasukan secara percuma. Untuk perkembangan terkini, ikuti @MerdekaTextileMuseum. – KOSMO! ONLINE

 

The post Muzium Tekstil Merdeka: Memelihara warisan untuk generasi akan datang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved