
TAWAU: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 150 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas, di sini selepas terpilih membeli-belah kelengkapan sekolah menerusi Program MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah 2026 Bersama Malaysia Airports, pada Selasa.
Mereka yang terdiri daripada kumpulan keluarga B40 berpeluang membeli kelengkapan baharu seperti baju sekolah, alat tulis, kasut, beg sekolah, dan lain-lain keperluan berkaitan, bahkan makanan.
SK Kuala Apas merupakan sekolah angkat Madani. Murid-murid ini terpilih untuk membeli kelengkapan sekolah bernilai RM400 seorang. Selain itu, bantuan bursari berjumlah RM82,000 juga disalurkan kepada 410 pelajar untuk pembelian buku dan pakaian sukan.
Lebih manis, sesi membeli-belah di Pasaraya Besar Bataras, Jalan Chong Thien Vun itu turut dihadiri sendiri oleh Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani serta pihak pengurusan kanan Malaysia Airports dari seluruh negara yang menjadi sukarelawan.
Menurutnya, program itu merupakan langkah proaktif Malaysia Airports dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MYAirportCARES bagi meneruskan komitmen syarikat untuk menyokong komuniti di sekitar rangkaian lapangan terbangnya menerusi dua program utama – Ceria Kembali Ke Sekolah dan Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang.
Kedua-dua program itu memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga berkeperluan, dengan menyediakan bantuan berkaitan pembelajaran serta memberi pendedahan kepada sektor lapangan terbang.
Sementara itu, 2025 menyaksikan satu pencapaian baharu apabila kedua-dua program terbabit dijalankan bersama sekolah di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani kelolaan kerajaan Malaysia, membolehkan bantuan dan pendedahan pendidikan disalurkan dengan lebih tersusun kepada komuniti yang paling memerlukan.
“Buat julung kalinya, semua pengurus lapangan terbang dari seluruh negara turun padang sebagai sukarelawan bagi menyantuni murid-murid berkenaan semasa aktiviti membeli-belah diadakan,” katanya sambil menambah, program sama turut bakal diadakan di Pulau Pinang.
Mohd Izani berkata program Educational Airport Tour pula memberi peluang kepada pelajar untuk melawat lapangan terbang dan memahami operasi harian serta potensi kerjaya dalam sektor pengendalian lapangan terbang.
Katanya, tahun ini, pelajar dari SK dan SMK Sungai Rawang di Sepang serta SK Lubok Nibong di Marudi, Sarawak turut terlibat.
Pertama kali diperkenalkan pada 2023, program itu kini diperluas kepada komuniti sekitar STOLport Marudi.
“Pada 3 Disember 2025, seramai 30 murid dan 16 guru SK Lubok Nibong menyertai lawatan pendidikan ke Lapangan Terbang Miri yang merangkumi sesi bersama pasukan bomba, keselamatan penerbangan, operasi terminal, pengalaman pelanggan dan lawatan fasiliti,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata MYAirportCARES adalah cara pihaknya menyumbang kepada masa hadapan generasi muda di komuniti sekitar rangkaian lapangan terbang.
Katanya, dari bantuan asas sekolah hingga pendedahan kepada dunia pengendalian lapangan terbang, usaha itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk murid yang memerlukan.
“Tahun ini, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sekolah Angkat Madani bagi memastikan sokongan kami disalurkan kepada kumpulan yang paling layak.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami untuk membantu membina keyakinan, inspirasi dan peluang kepada pelajar di seluruh negara,” tambahnya.
Untuk rekod, sejak dilancarkan, program Ceria Back to School yang bermula pada 2018 berjaya memberi manfaat kepada lebih 4,500 murid di seluruh Malaysia manakala program Educational Airport Tour sudah memanfaatkan lebih 5,500 pelajar sejak 2023.
Kedua-dua program itu kini menjadi tonggak utama MYAirportCARES dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan dan memperkukuh hubungan dengan komuniti berhampiran lapangan terbang kendalian Malaysia Airports.



