Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian guna kapal – Mohamad

10 Aug 2026 • 2:43 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Myanmar menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 rakyatnya yang kini berada sebagai pelarian di Malaysia menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut laporan Berita Harian, beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawatnya dari Myanmar ketika pertemuan antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, masih belum diputuskan pihak yang akan menanggung kos penghantaran pulang kesemua pelarian terbabit kerana Kementerian Luar (KLN) hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam proses berkenaan.

Image from: Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian guna kapal – Mohamad

Foto arkib: Bernama

Katanya, urusan penghantaran pulang itu perlu disegerakan memandangkan 5,000 pelarian Myanmar berkenaan sudah dikenal pasti.

“Itu terpulang kepada rundingan kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dan kita di Kementerian Luar (KLN) (akan lakukan) jika diputuskan KDN dan juga kementerian mereka di Myanmar.
“Kita adalah fasilitator saja untuk hantar pulang (pelarian terbabit). Ketika saya bertemu Menteri Luar yang baharu di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan membawa pulang 5,000 pelarian dengan kapal.
“Tetapi isunya adalah keselamatan 5,000 pelarian ini, kita tegaskan apakah mereka selamat apabila dihantar balik. Apa akan terjadi kepada mereka, itu perlu juga difikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN ke-59 di Wisma Putra, Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Mengulas peranan ASEAN dalam mengawal dan menangani isu pelarian, Mohamad berkata, meskipun perkara itu dianggap sebagai isu dalaman sesebuah negara, pengurusannya tetap memerlukan kerjasama di peringkat serantau.

Image from: Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian guna kapal – Mohamad

Foto: Janaan AI

Menurutnya, pemimpin ASEAN sebelum ini sudah mencapai persetujuan untuk melaksanakan beberapa rangka kerja dasar, termasuk Konsensus Lima Perkara (5PC), sebagai usaha menangani krisis yang berlaku di Myanmar.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan Myanmar perlu memastikan pelan tindakan damai itu dipatuhi dan dilaksanakan terlebih dahulu bagi menjamin keselamatan pelarian yang akan dihantar pulang.

5PC antara lain menetapkan keperluan menghentikan keganasan dengan segera di Myanmar, mengadakan dialog membina melibatkan semua pihak serta menggunakan wakil khas Pengerusi ASEAN untuk membantu memudah cara proses berkenaan.

Selain itu, ASEAN juga berperanan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas, manakala wakil khas ASEAN perlu dibenarkan melawat negara berkenaan dan bertemu semua pihak berkepentingan.

“Kita bukan bercakap berkenaan pelarian Rohingya, sebaliknya semua pelarian dari Myanmar kerana ada pelbagai etnik dari negara itu termasuk Chin.
“Jadi, kita melihat ia satu perkara yang Malaysia perlu urus. Dalam ASEAN, kita sama-sama melihat isu pelarian seperti di Myanmar ini perlu diatasi bersama.
“Kita mahu 5PC kekal jadi teras mekanisme ASEAN terhadap Myanmar dan Kerajaan Myanmar memenuhi hasrat ketua negara ASEAN kerana konsensus itu ditandatangani serta dipersetujui semua termasuk pemimpin Myanmar ketika itu,” ujarnya.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved