
PUTRAJAYA – Kerajaan Myanmar bersedia membawa pulang kira-kira 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia dengan menggunakan kapal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dijelaskan Menteri Luar Myanmar ketika mengadakan pertemuan dengan beliau di negara berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan itu perlu mengambil kira aspek keselamatan dan melalui proses saringan terlebih dahulu.
“Semasa saya bertemu dengan Menteri Luar baharu di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 (pelarian) ini dengan kapal. Tetapi isunya ialah keselamatan 5,000 orang ini.
“Apakah apabila kita menghantar mereka balik, mereka selamat atau apa akan terjadi? Itu perlu juga difikirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari ASEAN Ke-59, di sini hari ini.
Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan data awal jumlah pelarian Myanmar menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menjelang suku keempat tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Jabatan Imigresen (JIM) sedang melaksanakan proses pengumpulan data bersama pihak berkaitan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kementerian Luar (KLN) hanya bertindak sebagai fasilitator dalam proses penghantaran pulang tersebut selepas keputusan dibuat KDN dan pihak berkuasa Myanmar.
Katanya, kira-kira 5,000 pelarian telah dikenal pasti untuk dibawa pulang ke negara asal, namun tiada tempoh masa khusus ditetapkan setakat ini.
“Tiada ‘time frame’ (garis masa), tetapi kena buat segeralah. Terpulang dan dia (Myanmar) kena buat saringan, tetapi yang 5,000 orang ini sudah dikenal pasti oleh Malaysia. Mereka perlu dibawa balik,” katanya.
Mohamad menegaskan, isu pelarian Myanmar tidak seharusnya dilihat dari sudut Rohingya kerana terdapat pelbagai kumpulan etnik lain dari negara berkenaan antaranya ermasuk etnik Chin dan Karen.
“Ini merupakan masalah dalaman negara. Kita bukan bercakap soal pelarian Rohingya, kita bercakap tentang pelarian dalam pelbagai bentuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Myanmar sedia kapal bawa pulang 5,000 pelarian appeared first on Kosmo Digital.




