
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini gagal dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mengembalikan cadangan denda RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikatnya, Grabcar Sdn. Bhd. serta Myteksi Sdn. Bhd, yang dikenakan pada 2019.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Datuk Lee Swee Seng.
Hakim menolak permohonan MyCC untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Abu Bakar berkata, MyCC tidak memenuhi ambang untuk membuat rayuan di mahkamah tertinggi negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 96 Akta Kehakiman, lapor The Edge.
Ketika membaca penghakiman, Abu Bakar menegaskan keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah bersifat substantif dan tertakluk kepada bidang kuasa kehakiman.
“Walaupun boleh dikatakan tiada keputusan yang muktamad, namun mahkamah berpendapat satu keputusan substantif telah pun dibuat dan perlu dipatuhi walaupun pada peringkat ini.
“Oleh itu, mahkamah berpendapat pihak pemohon gagal memenuhi kehendak di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Saya berpandangan pihak pemohon tidak memenuhi keperluan Seksyen 96, oleh itu permohonan ini ditolak dengan kos RM50,000 kepada responden,” katanya.
Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Yvonne Lim, Shanthi Kandiah, Angela Hii dan Azyan Ibrahim mewakili Grab, manakala suruhanjaya itu diwakili Datuk V Sithambaram.
Pada 6 Julai 2023, Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd berjaya memperoleh perintah certiorari daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan cadangan denda MyCC, yang mendorong MyCC untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Kes bermula apabila tiga syarikat tersebut mengemukakan semakan kehakiman pada Disember 2019 untuk mencabar denda dicadangkan oleh MyCC terhadap dakwaan pelanggaran Akta Persaingan khususnya klausa sekatan dikenakan ke atas pemandu mereka.
Pada Februari 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ketiga-tiga syarikat berkenaan kerana mahkamah menganggap langkah itu terlalu awal memandangkan keputusan dicadangkan belum muktamad.
Bagaimanapun, Grab mengemukakan rayuan dan pada April 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman dan merujuk kes itu semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh berdasarkan merit kes.
Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, membuka jalan bagi Mahkamah Tinggi untuk menjalankan perbicaraan substantif mengenai semakan kehakiman pada tahun itu. - 14 Oktober, 2025
The post MyCC gagal dalam rayuan akhir kembalikan denda RM88.77 juta terhadap Grab appeared first on Scoop.

