
Kota Kinabalu: Seorang bekas penolong jurutera awam gagal merayu terhadap hukuman penjara dan denda membabitkan dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan dengan menganugerahkan projek penyelenggaraan jalan kepada syarikat milik adiknya selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada Selasa menolak rayuan Herwan Malik terhadap sabitan dan hukumannya sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Herwan, 40, pada 29 Ogos 2023 telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa dalam membuat keputusan berhubung sebut harga Pejabat Daerah Kota Marudu untuk memilih Pemborong Sri Tassha milik adiknya Rozanah Malik, 32, bagi melaksanakan projek penyelenggaraan jalan di sepanjang Jalan Pertanian di Kampung Sungai Laut, Kota Marudu.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 28 Februari 2013 di Pejabat Daerah Kota Marudu.
Bagi pertuduhan kedua Herwan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan lagi serta denda RM10,000 atau tiga bulan penjara kerana menyalahgunakan jawatannya dengan menganugerahkan projek penyelenggaraan jalan di Kampung Pendawar, Kota Marudu kepada syarikat sama di tempat yang sama pada jam 3 petang, 30 April 2014.
Kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Herwan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dengan notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan.
Herwan juga dibenarkan ikat jamin namun nilai ditingkatkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 sementara menunggu rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Shahlan Jufri bertindak bagi pihak Herwan sebagai perayu.


