Menteri Digital, Gobind Singh Deo kini berkongsi mengatakan kerajaan menyasarkan untuk mengintegrasikan MyDigital ID pada semua platform kerajaan melalui ciri daftar masuk, sekaligus menjadikan penggunaan perkhidmatan kerajaan lebih mudah dan selari untuk para pengguna. Untuk langkah ini, sejumlah inisiatif dijangka diumumkan pada awal 2025 kelak.

Pada hari ini, MyDigital ID telah diintegrasikan pada beberapa aplikasi, termasuk MyJPJ. Dengan langkah ini, pengguna boleh menggunakan akaun MyDigital ID untuk log masuk – dimana pengesahan identiti dan sebagainya telah pun sedia dilakukan melalui MyDigital ID.
Selain itu, ia turut dikongsikan yang mana MyDigital ID adalah sebuah platform dengan pembangunan berterusan, selari dengan perkembangan teknologi – sekaligus membolehkan pelbagai perkara baharu dan integrasi diperkenalkan.
MyDigital ID sebelum ini telah diperkenalkan pada penghujung 2023, dan dibuka kepada umum sejak awal tahun 2024. Setakat ini, lebih 1 juta pengguna telah mendaftar MyDigital ID.



