MyEG dapat lanjutan kontrak tiga tahun daripada JPJ bagi perkhidmatan dalam talian
diyana
31/10/2023 - 09:09
KUALA LUMPUR 31 Okt - MyEG Services Bhd telah menerima lanjutan kontrak selama tiga tahun daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pelantikannya sebagai ejen pemungut bagi penyediaan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan, serta perkhidmatan pembayaran saman secara elektronik.
Kontrak ini datang hanya dua minggu selepas penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu diberikan lanjutan kontrak perkhidmatan berkaitan imigresen bagi tempoh dua tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MyEG berkata kumpulan itu dan unit milik penuhnya MyEG Sdn Bhd telah menerima surat lanjutan daripada JPJ bagi tempoh 23 Mei 2023 hingga 22 Mei 2026.
Perjanjian untuk merasmikan lanjutan bakal diumumkan dalam masa terdekat, kata kumpulan itu.
Sementara itu, anggaran jumlah nilai lanjutan akan bergantung kepada bilangan transaksi yang dilakukan sepanjang tempoh tersebut.
"Lembaga pengarah berpendapat bahawa lanjutan itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya," kata MyEG.
Pada pukul 9:28 pagi ini, saham MyEG telah menokok 1 sen atau 1.3% kepada 77.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM5.86 bilion. - DagangNews.com



