MyFOSF gesa tambah baik urus tadbir KKP

27 Oct 2022 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenyataan akhbar oleh MyFOSH pada Khamis.

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MyFOSH) menggesa agar pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menambah baik sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah.

Ia susulan insiden kematian seorang murid sekolah rendah berusia 11 tahun yang dihempap tiang gol bola sepak di padang bola Pekan Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, MyFOSH berkata, peristiwa itu adalah membimbangkan kerana dalam tempoh 12 tahun, terdapat tidak kurang lima kejadian hampir serupa dengan murid terbabit telah berlaku.

"MyFOSH berpandangan bahawa ini hanyalah sebahagian daripada isu asas jurang standard OSH yang lebih besar di sekolah.

"Tragedi terbaharu ini memerlukan tindakan segera semua pihak untuk mengelakkan bukan sahaja kematian tetapi kecederaan serta kejadian nyaris terutamanya di kalangan murid sekolah," menurut kenyataan itu.

MyFOSH berkata, walaupun kes terkini melibatkan kematian akibat tiang gol jatuh, isu kesihatan dan keselamatan di sekolah tidak terhad kepada peralatan sukan yang rosak.

Katanya, komitmen berterusan diperlukan untuk menguruskan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bermula dari peringkat atas KPM.

“Petunjuk prestasi utama (KPI) kesihatan dan keselamatan (seperti sifar kemalangan dan kecederaan) perlu menjadi sandaran agar urus tadbir KKP ditekankan di peringkat sekolah,” katanya.

Tambahnya berkata, banyak sekolah tidak mempunyai sistem pengurusan KKP yang mantap dan berkesan mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko kesihatan dan keselamatan.

Jelasnya, mekanisme HIRARC membabitkan aspek pengenalpastian bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko merupakan kaedah terbukti untuk menangani dan mengurus risiko kesihatan dan keselamatan dengan secukupnya di tempat kerja dan harus dijalankan secara berkala dan diteliti di sekolah.

“Ia diketuai oleh pasukan petugas seperti Jawatankuasa KPP. Risiko yang dikenal pasti harus dibawa kepada perhatian pihak berkepentingan utama semasa semakan pengurusan berkala atau forum tadbir urus untuk memastikan akauntabiliti dan tindakan pencegahan mencukupi diambil lebih awal,” ujarnya.

Walaupun Akta KKP (Pindaan) 2022 (OSHA) dengan jelas menggariskan tanggungjawab melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak di sekolah adalah tanggungjawab guru besar atau pengetua sekolah, MyFOSH menjelaskan usaha memenuhi tuntutan itu sentiasa memerlukan usaha bersama.

“Bukan sahaja pengurusan sekolah, tetapi juga kolaborasi agensi kerajaan seperti KPM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pakar KKP, SERTA kerjasama antara guru, ibu bapa dan pelajar,” ujarnya.

Pada masa sama, MyFOSH turut menekankan kepentingan agar pihak terbabit supaya secara proaktif mendekati badan bukan kerajaan NGO yang berkemahiran dalam menawarkan perkhidmatan pengurusan KKP di dalam negara.

"Ini kerana mereka adalah pemangkin yang bersemangat yang boleh memberikan sokongan dan input teknikal yang diperlukan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan ke arah kelestarian sosial dan tadbir urus di sekolah,” kata kenyataan itu lagi.