MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 7:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET

PETALING JAYA – Sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.

Jumlah tersebut sekali gus mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, perkembangan itu turut me­nunjukkan prospek kerjaya graduan TVET semakin cerah dalam pelbagai sektor ekonomi.

Menurutnya, peningkatan pe­luang pekerjaan tersebut membuktikan tenaga kerja berkemahiran semakin mendapat pengiktirafan dalam pasaran pekerjaan negara.

“Perkembangan ini selari dengan keperluan industri yang sedang melalui transformasi teknologi serta proses pendigitalan ekonomi.

Image from: MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET
Ramanan

“Peluang pekerjaan berkaitan TVET yang diiklankan melalui MYFutureJobs menawarkan purata gaji sebanyak RM3,658 sebulan sekali gus mencerminkan permintaan tinggi majikan terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran khusus,” katanya.

ambahnya, bagi bidang tertentu, kadar gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi bergantung kepada pengalaman dan lokasi pekerjaan.

Selain itu, graduan yang memiliki pensijilan kompetensi dan profesional turut berpotensi memperoleh pendapatan lebih kompetitif.

Jelasnya, keadaan itu menunjukkan usaha meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pensijilan berkaitan mampu membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan TVET.

Antara sektor yang menawarkan peluang pekerjaan berkenaan adalah pembuatan, automasi, kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Peluang sama turut ditawarkan dalam sektor elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembinaan serta automotif.

Selain itu, Ramanan berkata, sektor semikonduktor dan pengendalian mesin juga memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran teknikal.

Image from: MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET
Nur Liyana

“Kepelbagaian sektor ini membuktikan bahawa graduan TVET mempunyai prospek kerjaya yang luas merentasi pelbagai industri berimpak tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, keberkesanan MYFutureJobs turut dibuktikan menerusi kejayaan seorang pencari kerja memperoleh pekerjaan sebagai juruteknik automotif di Proton.

Muhammad Faris Azim Baharin berkata, dia berjaya mendapatkan pekerjaan yang selari dengan minat serta kemahirannya melalui bantuan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan MYFutureJobs.

“Saya bersyukur kerana dengan bantuan KESUMA melalui PERKESO dan MYFutureJobs, saya kini berjaya mendapatkan pekerjaan yang selari dengan minat dan kemahiran saya.

“Kepada mereka yang masih mencari pekerjaan, daftarlah di MYFutureJobs atau kunjungi Pejabat PERKESO berhampiran. Rezeki dan peluang kerjaya mungkin bermula dengan satu langkah itu,” katanya.

Seorang lagi pengguna MYFutureJobs, Nur Liyana Fakruddin, 28, berkata, dia mula aktif menggunakan portal berkenaan sejak awal 2022 bagi memohon pekerjaan dalam bidang pentadbiran, pengurusan serta jualan dan pemasaran.

Menurutnya, melalui portal itu, dia dipanggil menghadiri beberapa sesi temu duga sebelum berjaya memperoleh tawaran di empat tempat kerja berbeza.

“Antaranya sebagai guru tuisyen pada 2022 dan pegawai pemasaran dari Disember 2023 hingga Mac 2024. Selain itu saya pernah bekerja sebagai pembantu tadbir di bawah program MySTEP di Jabatan Pe­rangkaan Malaysia Pahang dari Julai hingga Disember 2024.

“Selepas itu, saya memperoleh pekerjaan sebagai pembantu pentadbir MySTEP di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pahang dari Mac hingga Disember tahun lalu,” katanya.

Nur Liyana berkata, antara ke­lebihan MYFutureJobs berban­ding platform pekerjaan lain adalah sokongan yang diberikan oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Katanya, pegawai berkenaan bukan sahaja membantu memantau permohonan pekerjaan, malah turut memberikan panduan temu duga dan menyalurkan maklumat berkaitan karnival kerjaya.

“Pegawai PERKESO juga akan menghubungi dan mengingatkan pencari kerja sekiranya perlu menghadiri sesi temu duga.

Image from: MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET
Pelajar TVET menjadi tulang belakang kepada kepada kemajuan industri dan pembangunan tenaga kerja mahir. – Gambar hiasan

“Selain itu, portal MYFutureJobs mesra pengguna dan boleh digunakan secara percuma,” katanya.

Platform MYFutureJobs dikendalikan oleh PERKESO membantu pelajar mengenal pasti pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran, kelayakan, minat dan lokasi mereka.

Pelajar TVET juga boleh mendapatkan maklumat julat gaji, memahami keperluan majikan serta mengikuti program kerjaya dan temu duga terbuka melalui www.myfuturejobs.gov.my.

Bagi memastikan lebih ramai pelajar TVET mendapat akses kepada peluang kerjaya berkualiti, KESUMA melalui PERKESO akan terus memperluaskan capaian perkhidmatan MYFutureJobs menerusi pelbagai program kerjaya di institusi latihan, politeknik, universiti serta kampus Jabatan Tenaga Manusia.

Antaranya termasuk penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs di kampus ADTEC JTM dan Politeknik Sabak Bernam, yang memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung de­ngan majikan serta memahami ke­perluan sebenar pasaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian. -KOSMO! ONLINE

The post MYFutureJobs tawar peluang pekerjaan berkaitan TVET appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved