
MyHalal Day 2025: Medium Perkasa Industri Halal Dan Usahawan Tempatan
KOTA KINABALU — Bermula esok sehingga 28 September ini, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Program MyHalal Day 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Wisma MUIS, lapor Sabah Media.
Pelbagai pengisian bermanfaat dalam program anjuran bersama Pejabat Tugas-Tugas Khas (TSKN), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ia termasuk jualan produk halal, pameran agensi, kuiz halal serta klinik halal bagi memberi khidmat nasihat berkaitan pensijilan dan industri halal.
Antara acara utama yang bakal diadakan termasuklah Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam; Perkongsian Perbankan Bantuan Pensijilan Halal; Taklimat Program Fasilitasi Halal e-ReHal; Ceramah Digital Halal: Navigating Faith in The Age of Technology dan Slot Usahawan Halal “From Zero To Hero”
Kemuncak program akan berlangsung pada Ahad di Dewan Saadah, Wisma MUIS, dengan Majlis Perasmian MyHalal Day yang dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam majlis yang sama, pelancaran beberapa inisiatif penting turut dijadualkan, antaranya Pelan Tindakan Halal Negeri Sabah 2.0 (2026-2030) serta Blueprint Pembangunan Usahawan PMKS.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya usahawan, pengusaha makanan, belia serta komuniti setempat, digalakkan hadir bagi mendapatkan maklumat, peluang serta bimbingan terus daripada pakar dan agensi berkaitan halal.
Sumber: Sabah Media
The post MyHalal Day 2025: Medium Perkasa Industri Halal Dan Usahawan Tempatan appeared first on Siakap Keli.


