MyJPJ bakal tampil dengan fungsi baharu, teknologi terkini

LocalTechnology
2 Aug 2026 • 2:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MyJPJ bakal tampil dengan fungsi baharu, teknologi terkini

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan pelbagai ciri dan teknologi baharu dalam aplikasi MyJPJ bagi meningkatkan pengalaman pengguna serta mengukuhkan fungsinya sebagai aplikasi digital utama kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, beberapa ciri baharu yang lebih canggih dijangka diperkenalkan kepada orang ramai dalam masa terdekat selepas pratonton khas bersama media pada September ini.

“Dalam tempoh terdekat, mungkin sekitar September nanti, kita akan panggil media untuk memperkenalkan beberapa fungsi dan teknologi terkini dalam aplikasi MyJPJ yang belum pernah dipertonton sebelum ini.

“Banyak penambahbaikan sedang dilaksanakan dan pengguna boleh menjangkakan pengalaman yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, hari ini.

Beliau mengulas isu dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berhubung gangguan aplikasi MyJPJ yang didakwa menyebabkan pengguna berdepan masalah seperti sistem tergendala, capaian perlahan dan urusan transaksi dalam talian gagal disempurnakan.

Menurut Aedy Fadly, aplikasi MyJPJ setakat ini mempunyai hampir 15 juta pengguna berdaftar, sekali gus menjadikannya antara aplikasi digital kerajaan yang paling popular dalam kalangan rakyat.

“MyJPJ merupakan aplikasi kerajaan yang sangat popular ketika ini dengan hampir 15 juta pengguna berdaftar. Jadi apabila terdapat beberapa isu teknikal atau gangguan tertentu, perkara itu adalah sesuatu yang normal bagi mana-mana platform digital yang mempunyai jumlah pengguna yang besar.

“Apa yang penting, kita sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem ini terus stabil, selamat dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Sementara itu, pelaksanaan program hari ini mencerminkan peranan JPJ yang bukan sahaja bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan dan penyampaian perkhidmatan berkaitan pengangkutan jalan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial, kesejahteraan komuniti serta pembangunan modal insan.

“Di bawah Program Kampung Angkat MADANI, Kampung Alor Senjaya, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. 

“Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan Surau Taman Indah, pembinaan dewan terbuka, menaik taraf taman permainan serta penganjuran program kemasyarakatan,” katanya.

Bagi Program Sekolah Angkat MADANI pula, Sekolah Kebangsaan Titi Gajah menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi memperkasa ekosistem pembelajaran melalui pembangunan Digital Maker Hub, menaik taraf pusat sumber sekolah, pelaksanaan program latihan dan pembangunan profesional guru serta pembangunan sahsiah murid. – UTUSAN

The post MyJPJ bakal tampil dengan fungsi baharu, teknologi terkini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved