
ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan untuk menarik sokongan terhadap penganjuran program pemotoran pada masa depan, sekiranya peserta terus mengabaikan aspek keselamatan dan melanggar undang-undang jalan raya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ memandang serius peningkatan aduan orang ramai berhubung sikap segelintir peserta program pemotoran yang menunggang secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Menurut beliau, walaupun pihaknya selama ini memberi kerjasama kepada penganjur dan kerajaan negeri dalam menjayakan program berkaitan permotoran, keselamatan awam tetap menjadi keutamaan.
“JPJ menjaga kepentingan orang awam, bukannya kepentingan peserta atau penganjur. Jika terdapat tindakan yang membahayakan pengguna jalan raya lain, kita akan ambil tindakan tegas.
“Kita sudah melihat banyak rungutan daripada masyarakat yang mendakwa ada peserta menunggang secara melulu, tidak berhemah dan menyebabkan kesesakan jalan raya, ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada sidang akhbar Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, hari ini.
Kelmarin, seorang wanita, Syafirah Salim, 36, dan anak sulungnya, Ahmad Asyraf Talhah, 13, terlibat dalam kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus, Terengganu.
Dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Mohd Said itu dilaporkan melecur 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah selepas motosikal dinaiki bersama ibunya hangus 100 peratus, manakala motosikal Yamaha RXZ terbabit terbakar kira-kira 80 peratus.
Sementara itu Aedy Fadly berkata, JPJ telah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa serta pejabat negeri berkaitan supaya mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap program pemotoran yang dianjurkan di seluruh negara.
Malah katanya, satu sesi libat urus khas akan diadakan dengan penganjur bagi menyampaikan amaran tegas berhubung tanggungjawab mereka dalam memastikan peserta mematuhi undang-undang.
“Kita akan panggil semua penganjur program pemotoran dan memberi peringatan yang jelas. Jika masih berlaku pelanggaran berulang dan peserta terus mengabaikan aspek keselamatan, JPJ tidak akan menyokong program seperti ini untuk dianjurkan lagi,” katanya.
Menurut beliau, JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program pemotoran, namun peserta perlu mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta tidak diubah suai secara menyalahi undang-undang.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana peserta yang melanggar peraturan atau membahayakan keselamatan awam,” katanya. – UTUSAN
The post JPJ pertimbang tidak sokong program pemotoran jika isu keselamatan berterusan appeared first on Utusan Malaysia.






