MyKad Baharu Miliki 53 Ciri Keselamatan, Tiada Fungsi ‘Touch ‘n Go’ — JPN

LocalTechnology
8 May 2026 • 9:40 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

MyKad Baharu Miliki 53 Ciri Keselamatan, Tiada Fungsi ‘Touch ‘n Go’ — JPN

KUALA LUMPUR - MyKad baharu yang dijangka diperkenalkan bulan depan bakal dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding hanya 23 ciri pada versi sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, penambahbaikan itu merangkumi ukiran laser, elemen ultraungu (UV), hologram, corak guilloche, mikroteks, kod QR untuk tujuan penguatkuasaan serta cip dengan peningkatan ke atas teknologi penyulitan.

“Sudah tentu ia mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik berbanding yang digunakan ketika ini.

"Pelancarannya akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya dan di peringkat JPN, kami telah bersedia untuk tujuan tersebut,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut beliau, pengenalan MyKad baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek keselamatan identiti, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan keselamatan semasa.

Badrul Hisham memberitahu, versi terkini MyPoCA dan MyTentera juga akan diperkenalkan pada bulan depan.

“MyKad baharu ini bagaimanapun tidak akan dilengkapi dengan fungsi Touch ‘n Go.

“JPN juga merakamkan penghargaan kepada rakan media yang sentiasa bekerjasama rapat dengan jabatan dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat,” katanya. — Getaran, 8 Mei 2026