
Tahun lalu kerajaan mengumumkan kad pengenalan MyKad akan dikemaskini bermula Jun 2026 dengan ia akan menerima pelbagai ciri keselamatan terkini selari dengan perubahan zaman sejak kali terakhir menerima kemas kini pada tahun 2012.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias semalam mendedahkan MyKad baharu akan mempunyai 53 elemen keselamatan. Ini adalah peningkatan daripada hanya 23 pada MyKad versi semasa. Selain MyKad, MyPoCA dan MyTentera juga akan dikemaskini dengan versi baharu.

Tetapi pada waktu yang sama integrasi kad Touch ‘n Go tidak lagi akan disertakan dalam MyKad baharu. Ini adalah ciri penting bagi mereka yang menyimpan kredit dalam MyKad bagi tujuan pengangkutan atau sekadar sistem nirtunai sandaran ketika kecemasan.
Antara ciri baharu yang digunakan kelak ialah ukiran menggunakan laser, unsur cahaya ultraungu, hologram, teks mikro, kod QR, cip dengan teknologi yang diperkukuh dan corak guilloche (disebut giloshay) supaya lebih sukar dipalsukan.
Kad pengenalan dalam format kertas diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1948, Sarawak pula pada tahun 1949 dan Sabah pada tahun 1963.




