MyKomuter50 ialah pas perjalanan bulanan tanpa had untuk perkhidmatan kereta api KTM Komuter. Ia membolehkan warganegara Malaysia menikmati perjalanan tanpa had di rangkaian KTM Komuter selama 30 hari dengan hanya membayar RM50 sebulan.
Pendaftaran dan pembelian MyKomuter50 akan dibuka mulai 16 November 2026, manakala penggunaan pas bermula pada 1 Disember 2026.
Secara ringkasnya, ia berfungsi sama seperti pas Rapid KL My50 yang sedia ada, tetapi khusus untuk pengguna tren komuter KTM.
Jom rujuk perincian pas MyKomuter50 di bawah.
Apa Itu MyKomuter50?
Pas MyKomuter50 adalah pas perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan jumlah RM50.00 kepada Warganegara Malaysia bagi Perkhidmatan KTM Komuter Utara, KTM Komuter Lembah Klang dan Shuttle Selatan.
Tujuan utama pelaksanaan Pas MyKomuter50 adalah untuk mengurangkan kos perjalanan pengguna yang menggunakan Perkhidmatan KTM Komuter secara harian.
KTMB menetapkan tarikh jualan pas ini adalah bermula 16 November 2026 dan boleh mula digunakan pada 1 Disember 2026.

Tarikh Pengaktifan & Dikuatkuasakan
Pengaktifan dan pembelian Pas MyKomuter50 dibuka bermula 16 November 2026, manakala tempoh penggunaan perjalanan tanpa had selama 30 hari mula dikuatkuasakan pada 1 Disember 2026.
- 16 November 2026 (Tarikh Pengaktifan & Pembelian): Pengguna boleh mula membuat pengesahan kelayakan (MyKad/MyKid), mengaktifkan akaun, dan membeli Pas MyKomuter50 menerusi aplikasi KTMB Mobile / KITS Style, mesin kios tiket, atau di kaunter stesen terpilih.
- 1 Disember 2026 (Tarikh Dikuatkuasakan): Pas mula sah digunakan untuk perjalanan berulang kali tanpa had selama 30 hari di laluan KTM Komuter Utara, KTM Komuter Lembah Klang, atau Shuttle Selatan.



Harga Pas
Harga bagi Pas MyKomuter50 adalah RM50.00.
Pas ini sah untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari dan dikhaskan kepada Warganegara Malaysia sahaja.
Laluan Terlibat
Pas MyKomuter50 merangkumi tiga rangkaian utama perkhidmatan KTM Komuter dan Shuttle Selatan di Semenanjung Malaysia.
Setiap pas bernilai RM50.00 ini sah untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari mengikut kategori kawasan perkhidmatan yang dipilih seperti di bawah:
- Perkhidmatan KTM Komuter Utara. Merangkumi Laluan Padang Besar (Butterworth – Padang Besar) dan Laluan Butterworth (Ipoh – Butterworth).
- Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang. Merangkumi Laluan Tanjung Malim (Pelabuhan Klang – Tanjung Malim) dan Laluan Batu Caves (Pulau Sebang / Tampin – Batu Caves).
- Perkhidmatan Shuttle Selatan. Merangkumi Laluan Paloh (JB Sentral – Paloh) dan Laluan Kempas Baru (Pasir Gudang – Kempas Baru).
- Laluan Tambahan. Pas ini juga akan meliputi lain-lain laluan baharu yang diperkenalkan oleh pihak KTMB dari semasa ke semasa.

Kelayakan
Pengguna hendaklah memenuhi syarat berikut:
- Warganegara Malaysia. Pas subsidi ini dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja yang memiliki kad pengenalan (MyKad atau MyKid) yang sah.
- Berumur 7 tahun dan ke atas. Semua pengguna yang berumur sekurang-kurangnya 7 tahun layak memohon.
- Lulus pengaktifan MyKomuter50. Pengguna mesti mendaftar dan melengkapkan proses pengesahan identiti serta pengaktifan akaun MyKomuter50 terlebih dahulu sebelum boleh melanggan pas.
- Bukan Pengguna MyRailLife. Pas ini tidak terbuka kepada pemegang pas MyRailLife (seperti warga emas, golongan OKU, dan pelajar sekolah).

Pengaktifkan Pas MyKomuter50
Pengaktifan Pas MyKomuter50 boleh dibuat:
- Secara dalam talian menerusi Aplikasi KTMB Mobile / KITS Style dengan memuat naik salinan MyKad / MyKid / Sijil Lahir
- Di Mesin Kios Tiket Stesen Perkhidmatan Komuter dengan memasukkan MyKad / MyKid dalam slot pengimbas kad pengenalan untuk pengesahan
- Di Kaunter Stesen Perkhidmatan KTM Komuter dengan mengemukakan MyKad / MyKid asal kepada kakitangan stesen bertugas untuk pengesahan
Tempoh kelulusan pengaktifan MyKomuter50:
- Kelulusan serta-merta bagi pendaftaran di Mesin Kios Tiket dan di Kaunter Stesen Perkhidmatan KTM Komuter Utara, KTM Komuter Lembah Klang dan Shuttle Selatan
- Kelulusan dalam 3 hari bekerja bagi pendaftaran secara dalam talian

NOTA:
- Pengaktifan dan pendaftaran Pas MyKomuter50 dibuka bermula 16 November 2026.
Walau bagaimanapun, penggunaan pas untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari ini hanya akan mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2026.
- Pengaktifan serta pembelian kad Komuter Link disediakan di 34 stesen terpilih (10 stesen Komuter Utara, 20 stesen Lembah Klang, dan 4 stesen Shuttle Selatan), selain 11 kaunter pendaftaran tambahan di stesen utama seperti KL Sentral, Rawang, Seremban, Alor Setar, dan JB Sentral.
Pembelian Pas MyKomuter50
A. Pas MyKomuter50 boleh dibeli dengan harga RM50.00 bagi setiap jenis perkhidmatan seperti berikut:
- Pas MyKomuter50 Utara untuk membuat perjalanan bagi Perkhidmatan KTM Komuter Utara.
- Pas MyKomuter50 Lembah Klang untuk membuat perjalanan bagi Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang.
- Pas MyKomuter50 Selatan untuk membuat perjalanan bagi Perkhidmatan Shuttle Selatan.
Harga RM50.00 adalah untuk satu sektor sahaja. Jika anda kerap merentas kawasan, anda dibenarkan melanggan sehingga tiga pas serentak (1 Utara, 1 Lembah Klang, dan 1 Selatan) pada satu masa.
B. Pas MyKomuter50 boleh didapati dalam bentuk medium tiket berikut:
- Tiket QR Code melalui pembelian dalam talian menerusi Aplikasi KTMB Mobile / KITS Style.
- Kad Komuter Link (yang dijual secara berasingan) melalui pembelian di Kaunter Stesen Perkhidmatan KTM Komuter.
C. Pas MyKomuter50 boleh dibeli menggunakan Kad Komuter Link sedia ada milik pengguna dengan syarat berikut:
- Tiada tetapan Pas Mingguan / Pas Bulanan yang bertindih tarikh dengan Pas MyKomuter50 bagi sektor sama.
- Tiada tetapan Pas MyRailLife yang masih aktif.
PENTING:
- Pengguna hendaklah memastikan pengaktifan Pas MyKomuter50 berstatus lulus sebelum membuat pembelian.
- Pengguna dibenarkan untuk memiliki Satu (1) Pas MyKomuter50 Utara, Satu (1) Pas MyKomuter50 Lembah Klang dan Satu (1) Pas MyKomuter50 Selatan berstatus aktif pada masa sama
- Pengguna hanya dibenarkan untuk memiliki 1 medium tiket bagi penggunaan Pas MyKomuter50 pada masa sama.
- Tiket QR Code Pas MyKomuter50 yang dibeli pengguna pada Aplikasi KTMB Mobile / KITS Style akan terbatal secara automatik sekiranya pengguna membuat pembelian Pas MyKomuter50 pada Kad Komuter Link.

NOTA:
- Pembelian Pas MyKomuter50 tidak termaktub dalam Terma dan Syarat Rail Rewards Loyalty Programme.
- Pas MyKomuter50 yang telah dibeli pengguna adalah hak milik pengguna. Pembatalan / pindahan atau bayar balik Pas MyKomuter50 adalah TIDAK DIBENARKAN.
- KTMB tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan / kehilangan Kad Komuter Link yang telah dibuat tetapan Pas MyKomuter50.
- Semakan tempoh aktif Pas MyKomuter50 pada Kad Komuter Link boleh dibuat melalui Aplikasi KTMB Mobile / KITS Style atau di Mesin Kios Tiket Stesen Perkhidmatan Komuter.
Senarai Stesen Pembelian Pas MyKomuter50
Pembelian Pas MyKomuter50 pada Kad Komuter Link boleh dibuat di stesen-stesen terpilih seperti berikut:
a. 10 Stesen Terpilih bagi Perkhidmatan KTM Komuter Utara
- Padang Besar
- Arau*
- Alor Setar
- Sungai Petani*
- Tasek Gelugor
- Bukit Mertajam*
- Parit Buntar
- Taiping
- Kuala Kangsar
- Ipoh*
b. 20 Stesen Terpilih bagi Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang
- Tanjung Malim
- Rawang*
- Sungai Buloh*
- Kepong Sentral
- Segambut Utara
- Bank Negara
- KL Sentral*
- Bandar Tasek Selatan*
- Kajang*
- UKM
- Batang Benar
- Nilai
- Seremban*
- Sungai Gadut
- Pulau Sebang / Tampin
- Abdullah Hukum
- Subang Jaya*
- Shah Alam
- Klang
- Batu Caves
c. 4 Stesen Terpilih bagi Perkhidmatan Shuttle Selatan
- Paloh
- Kluang*
- Kempas Baru
- JB Sentral*
Nota: KTMB menyediakan Kaunter Tambahan di stesen-stesen bertanda *, bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang ingin mendapatkan Pas MyKomuter50 pada Kad Komuter Link.
Pengguna masih boleh membuat pengaktifan Pas MyKomuter50 di semua mesin kios tiket yang terdapat di seluruh stesen Perkhidmatan KTM Komuter.

Penggunaan Pas MyKomuter50
Pengguna boleh melakukan perjalanan berulang kali tanpa had dari mana-mana stesen permulaan ke mana-mana stesen destinasi dalam sektor perkhidmatan yang dipilih (Utara, Lembah Klang, atau Shuttle Selatan), termasuk sebarang laluan baharu yang diperkenalkan KTMB pada masa hadapan.
Pas ini tidak sah digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti rangkaian Rapid KL (LRT, MRT, Monorel, Bas), Rapid Penang, ERL (KLIA Ekspres/Transit), mahupun tren jarak jauh KTMB seperti ETS dan KTM Intercity.
Tatacara di Stesen & Semasa Perjalanan
- Transaksi Lengkap Wajib. Pengguna mesti mengimbas kod QR dinamik atau Kad Komuter Link di pintu pagar automatik (gate) semasa masuk di stesen permulaan dan semasa keluar di stesen destinasi bagi setiap perjalanan.
- Tempoh Sah Laku. Pas hanya boleh digunakan dalam tempoh 30 hari mengikut tarikh sah laku yang tertera pada aplikasi atau sistem kad.
Keselamatan & Pemeriksaan Identiti
- Kegunaan Peribadi Sahaja. Pas ini tidak boleh dipindah milik atau dikongsi dengan individu lain.
- Dokumen Pengenalan Wajib Dibawa. Pengguna mesti sentiasa membawa MyKad atau MyKid bersama semasa menggunakan perkhidmatan tren dan mengemukakannya bersama pas apabila diminta oleh kakitangan KTMB semasa pemeriksaan tiket.
Had Liabiliti & Peraturan Am
- Tiada Pampasan Kerugian. Pihak KTMB tidak bertanggungjawab dan tidak akan membayar sebarang pampasan sekiranya pengguna mengalami kerugian akibat tidak dapat menggunakan pas tersebut untuk menaiki tren (seperti gangguan perkhidmatan atau masalah teknikal peranti).
- Tertakluk kepada Peraturan KTMB. Semua pengguna masih terikat dengan Terma & Syarat Am Perkhidmatan Komuter yang sedang berkuat kuasa sepanjang berada di dalam stesen dan tren.

Pas Rosak/Hilang
- Jika kad fizikal anda rosak atau hilang, anda perlu hadir sendiri ke mana-mana kaunter stesen KTM Komuter untuk membuat laporan rasmi kepada petugas stesen.
- Pihak KTMB akan menyenaraihitamkan (blacklist) kad tersebut serta-merta. Sebaik sahaja disenaraihitamkan, kad lama tidak lagi sah dan tidak boleh diaktifkan semula walaupun kad yang hilang itu ditemui kembali.
- Baki tempoh 30 hari tidak boleh dipindahkan ke kad baharu. Selepas kad lama disenaraihitamkan, pengguna mesti membeli Kad Komuter Link baharu dan membayar semula RM50.00 untuk melanggan Pas MyKomuter50 yang baharu.

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim MyKomuter50
- Portal Rasmi KTMB
- Facebook MOT Malaysia
- Facebook rasmi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
- Talian Khidmat Pelanggan: Anda boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-97791200 atau e-mel ke callcenter@ktmb.com.my untuk pertanyaan langsung.
Soalan Lazim
Tidak. Pas ini bernilai RM50 sebulan untuk perjalanan tanpa had (unlimited rides), bukannya potongan diskaun 50% daripada harga tiket harian.
Bolehkah saya membeli dan mengaktifkan pas MyKomuter50 sekarang?Urusan pengesahan kelayakan serta pembelian pas akan mula dibuka pada 16 November 2026 (Isnin). Anda boleh melakukannya menerusi aplikasi mudah alih, mesin kios tiket, atau di kaunter 34 stesen terpilih. Pas ini hanya boleh digunakan untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari bermula 1 Disember 2026.
Adakah pas MyKomuter50 ini sama dengan pas My50 sedia ada?Tidak sama dari segi rangkaian rel. Pas My50 sedia ada adalah untuk rangkaian Prasarana (LRT, MRT, Monorel, dan Bas Rapid KL). MyKomuter50 pula adalah pas berasingan khusus untuk rangkaian kereta api KTM Komuter sahaja. Tiada integrasi gabungan kedua-dua pas disahkan buat masa ini.
Adakah pas ini merangkumi perkhidmatan ETS atau KTM Intercity?Tidak. Pas ini terhad kepada perkhidmatan bertaraf KTM Komuter (Sektor Lembah Klang & Sektor Utara) serta perkhidmatan Shuttle Selatan. Tren laju ETS dan Intercity memerlukan pembelian tiket berasingan seperti biasa.
Bolehkah pas ini dikongsi atau dipindah milik kepada orang lain?Tidak boleh.




