MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan

20 Jun 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan

SHAH ALAM, 20 JUN: Penantian bertahun-tahun untuk memiliki dokumen pengenalan diri yang sah akhirnya berakhir buat beberapa keluarga di Selangor apabila mereka menerima sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan menerusi Program MySel, sekali gus membolehkan mereka menikmati hak sebagai warganegara Malaysia.

Bagi M. Shutheson Pillay, 45, detik itu menamatkan penantian selama 15 tahun untuk melihat tiga anaknya diiktiraf sebagai rakyat Malaysia selepas berdepan pelbagai kesukaran akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri yang lengkap.

Beliau berkata perkahwinannya sebelum ini tidak didaftarkan menyebabkan anak-anaknya hanya memiliki sijil kelahiran tanpa dokumen kewarganegaraan yang lengkap.

Image from: MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan
M Shutheson Pillay

“Pada tahun lalu, kami menerima surat memaklumkan bahawa sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan anak-anak telah diluluskan.

”Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana membantu mempercepatkan urusan ini selepas saya menunggu selama 15 tahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santuni Penerima Dokumen Pengenalan Diri di bawah Program MySel 2026.

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi keluarga mereka ialah kos pendidikan yang lebih tinggi termasuk perbelanjaan buku teks dan yuran persekolahan berbanding murid warganegara.

Selain itu, anak-anaknya juga tidak dapat menikmati kemudahan rawatan di hospital kerajaan seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Ketiga-tiga anak saya bersekolah di sekolah kebangsaan. Apabila mereka menerima sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan, saya rasa ia merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kepada keluarga kami,” katanya.

Kisah hampir sama turut dikongsi Ong Yong Kuang, 57, yang akhirnya berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah untuk kedua-dua anaknya selepas tiga kali permohonan kewarganegaraan ditolak.

Image from: MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan
Ong Yong kuang

Beliau berkata status isterinya sebagai bukan warganegara menjadi antara faktor yang menyebabkan permohonan tersebut gagal sejak anak mereka masih kecil.

“Selama 23 tahun saya tidak mempunyai dokumen yang sah. Yuran persekolahan yang perlu dibayar juga lebih tinggi dan menjadi beban kepada keluarga. Saya juga sedih kerana anak tidak dapat bergerak bebas seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Deborah Steven Boy, 21, penantian hampir lapan tahun untuk memiliki kad pengenalan akhirnya berakhir selepas permohonannya berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dua tahun menerusi bantuan Program MySel.

Menurut Deborah, beliau sebelum ini hanya mempunyai sijil kelahiran berstatus bukan warganegara dan tidak memiliki dokumen lengkap ibu kandung, sekali gus menyukarkan urusan mendapatkan kad pengenalan.

Image from: MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan
Deborah Steven Boy

“Saya mula berusaha mendapatkan kad pengenalan sejak berusia 12 tahun. Banyak cabaran yang perlu dilalui termasuk ketika menduduki peperiksaan UPSR, selain tidak dapat bekerja dan melakukan urusan harian seperti orang lain,” katanya.

Beliau menyifatkan penerimaan kad pengenalan itu sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila masih ramai individu lain yang berdepan masalah dokumentasi sama.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Mohammad Arish Danial, 13, yang menerima kad pengenalannya selepas setahun berdepan masalah dokumentasi.

Katanya, ketiadaan kad pengenalan sebelum ini menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos persekolahan yang lebih tinggi termasuk membeli buku sendiri.

Image from: MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan
Mohammad arish Danial

“Saya gembira kerana akhirnya mendapat kad pengenalan. Selepas ini saya akan menjaganya dengan baik dan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan,” katanya.

Program MySel merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu menyelesaikan isu dokumentasi dan kewarganegaraan yang dihadapi rakyat negeri ini, sekali gus membolehkan mereka menikmati hak sebagai warganegara Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada 2018 hingga 2025, MySel berjaya membantu 2,342 individu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dokumen pengenalan diri.

Image from: MySel: Penantian 15 tahun berakhir, bapa syukur tiga anak miliki kewarganegaraan
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bersama penerima dokumen sijil kewarganegaraan sempena Majlis Santuni Penerima Dokumen Pengenalan Diri di bawah program MYSEL di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 20 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR