
Bukan Semua Warga Asing PATI, Ramai Miliki Dokumen Sah - KP Imigresen
KUALA LUMPUR - Persepsi bahawa kehadiran ramai warga asing di kawasan tumpuan seperti ibu negara menandakan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga “menguasai” beberapa kawasan di negara ini perlu diperbetulkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tidak semua warga asing di negara ini melanggar undang-undang, malah sebahagian besar daripada mereka memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah.
Menurut beliau, lebih tiga juta warga asing yang berada di Malaysia ketika ini mempunyai pas dan permit yang sah serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya, pergerakan dan kehadiran warga asing secara berkumpulan, khususnya pada hujung minggu atau musim perayaan di lokasi tumpuan awam, sering menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Mereka berkumpul untuk bertemu rakan-rakan ketika cuti panjang atau hujung minggu sehingga menimbulkan tanggapan bahawa kawasan tersebut dipenuhi PATI.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati ramai daripada mereka sebenarnya memiliki dokumen yang sah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah Wira MADANI Semarak Aidiladha Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kajang, hari ini.
Program berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada petugas imigresen yang bertugas di barisan hadapan.
Dalam pada itu, Zakaria tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu yang menghasilkan kandungan berunsur sensasi bagi meraih tontonan tinggi di media sosial, sehingga mencetuskan salah tanggapan terhadap situasi sebenar.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pihak imigresen tidak pernah berkompromi dalam soal penguatkuasaan undang-undang dan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara.
Menurutnya, sehingga 25 Mei lalu, JIM telah melaksanakan sebanyak 5,010 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 71,734 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 17,313 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Kami turut menahan 789 majikan yang disyaki melindungi atau menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya.
Zakaria berkata, kebanyakan kes yang dikesan melibatkan kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta penyalahgunaan pas di bawah Akta Imigresen.
Berdasarkan statistik JIM, antara warga asing yang paling ramai ditahan mengikut negara asal ialah Indonesia seramai 5,578 orang, diikuti Bangladesh (3,533), Myanmar (2,856), Filipina (1,990) dan Pakistan (811). - Getaran, 27 Mei 2026






