KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh menerima amaran kecemasan secara terus melalui telefon bimbit dalam tempoh kurang seminit menerusi Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) yang dikenali sebagai MySiren.
Sistem itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen pada Isnin bagi memperkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran dihantar terus kepada telefon bimbit serasi di kawasan tertentu tanpa memerlukan aplikasi atau pendaftaran.
Menurut MCMC, teknologi berkenaan mampu menyampaikan amaran dalam tempoh kurang seminit berbanding sistem pesanan ringkas (SMS) secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga sejam atau lebih.
"MySiren membolehkan amaran disasarkan kepada kawasan tertentu berdasarkan lokasi dan keperluan situasi kecemasan, sekali gus melengkapi saluran amaran sedia ada," menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan, sistem itu boleh digunakan bagi memberi amaran mengenai ancaman serius seperti banjir, cuaca buruk, tsunami, kebakaran besar, insiden bahan berbahaya dan kecemasan keselamatan awam.
MCMC turut mengadakan simulasi MySiren di pekarangan Bangunan Parlimen bagi menguji keupayaan sistem menghantar mesej berserta bunyi amaran kepada telefon bimbit serasi.
Simulasi berkenaan menyusuli ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya pada 19 November lalu, manakala ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara dijadualkan pada 29 November ini.
Dalam pada itu, MCMC menasihatkan orang ramai memastikan telefon bimbit masing-masing menggunakan sistem operasi yang memenuhi keperluan minimum bagi menerima amaran MySiren.
Bagi pengguna iPhone 11 dan model lebih baharu, peranti perlu menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, manakala telefon Android memerlukan sekurang-kurangnya Android 12 dan Huawei menggunakan EMUI 16.
Pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) diaktifkan.
Bagaimanapun, penerimaan amaran bergantung pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan rangkaian mudah alih 4G atau 5G.
Teknologi CBS tidak memerlukan sambungan Internet, data mudah alih atau Wi-Fi, selain tidak mengumpulkan maklumat peribadi dan lokasi tepat pengguna untuk menghantar amaran.
Amaran akan dipaparkan pada skrin telefon bersama bunyi dan getaran mengikut kategori kecemasan, termasuk ketika peranti berada dalam mod senyap bagi amaran tertentu.
MCMC menjelaskan, MySiren merupakan saluran tambahan dan tidak menggantikan kaedah penyampaian amaran sedia ada seperti SMS, radio, televisyen serta platform rasmi kerajaan.
Menurut kenyataan itu lagi, sistem berkenaan dijangka bersedia untuk kegunaan operasi menjelang akhir tahun ini, tertakluk kepada penyempurnaan ujian dan penilaian kesiapsiagaan.
"MCMC akan terus bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem ini bersedia untuk beroperasi sebelum diperluas pelaksanaannya," menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang www.mcmc.gov.my/mysiren.




