MySiren: Ujian amaran kecemasan seluruh negara berlangsung pada 29 November

LocalTechnology
23 Nov 2026 • 6:05 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

MySiren: Ujian amaran kecemasan seluruh negara berlangsung pada 29 November

Sistem Amaran Awal Nasional (Early Warning System – EWS) yang bakal menjalani ujian secara serentak di seluruh negara pada 29 November 2026, kini dikenali sebagai MySiren.

Sistem ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, bagi memperkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai.

Majlis pelancaran berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia. Sempena majlis tersebut, MCMC turut mengadakan simulasi di pekarangan bangunan berkenaan bagi menguji keupayaan MySiren menghantar mesej berserta bunyi amaran terus ke telefon mudah alih.

Bagaimana MySiren berfungsi?

View this post on Instagram

Sekiranya anda tertanya bagaimana MySiren ini berfungsi, ia menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menghantar amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang ditetapkan menerusi rangkaian 4G dan 5G.

Sistem ini boleh digunakan untuk menyampaikan amaran bagi situasi kecemasan seperti banjir, cuaca buruk dan tanah runtuh.

Pengguna tidak perlu memasang sebarang aplikasi atau membuat pendaftaran untuk menerima amaran ini. Sebaliknya, mesej akan disampaikan kepada telefon yang berada dalam kawasan sasaran berdasarkan lokasi dan keperluan sesuatu situasi kecemasan.

Berbeza dengan SMS yang dihantar secara individu kepada nombor telefon, teknologi CBS menyiarkan mesej kepada telefon mudah alih yang berada dalam kawasan liputan rangkaian sel yang ditetapkan.

Menurut MCMC, kaedah ini membolehkan amaran disampaikan dalam tempoh kurang daripada satu minit, jauh lebih pantas berbanding penghantaran SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih.

Ujian seluruh negara dijadualkan pada 29 November 2026

Simulasi MySiren di Bangunan Parlimen hari ini merupakan susulan kepada ujian teknikal dalaman yang telah dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya pada 19 November lalu.

Seterusnya, ujian amaran secara serentak di seluruh negara dijadualkan pada hari Ahad, 29 November 2026, berlangsung antara jam 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.

Pada tarikh tersebut, amaran MySiren akan dipaparkan disertakan dengan bunyi dan getaran pada telefon pintar. Namun, paparan amaran tersebut mungkin akan berbeza bergantung pada peranti, sistem operasi dan kategori amaran. EWS merangkumi 6 kategori, iaitu Amaran Kebangsaan, Amaran Ekstrem, Amaran Teruk, Amaran Amber (Orang Hilang), Amaran Ujian dan Amaran Latihan.

Bagi kategori Amaran Nasional dan Amaran Ekstrem , telefon akan tetap mengeluarkan bunyi dan bergetar walaupun ditetapkan kepada mod senyap atau Do Not Disturb.

MCMC turut menjelaskan bahawa kedua-dua kategori amaran ini tidak boleh dimatikan melalui tetapan telefon. Namun, pengguna boleh memilih untuk tidak menerima kategori amaran lain, bergantung pada jenis peranti dan sistem operasi yang digunakan.

Kemas kini perisian telefon untuk menerima amaran MySiren

Untuk memastikan peranti dapat menerima mesej amaran semasa ujian seluruh negara nanti, orang ramai disarankan supaya mengemas kini perisian telefon pintar masing-masing kepada versi sistem operasi minimum seperti berikut:

  • iPhone 11 dan model lebih baharu: iOS 27.2 atau lebih terkini
  • Telefon Android: Android 12 atau lebih terkini
  • Telefon Huawei: EMUI 16 atau lebih terkini

Selain mengemas kini sistem operasi, pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan pada telefon telah diaktifkan. Tetapan ini mungkin dipaparkan sebagai “Government Alerts” pada iOS atau “Wireless Emergency Alerts” (WEA) di Android.

Untuk lihat tetapan ini, pengguna iPhone boleh pergi ke Settings > Notifications dan mencari pilihan Government Alerts. Bagi pengguna Android dan Huawei pula, tetapan Wireless Emergency Alerts boleh dijumpai dengan buka Settings > Safety & Emergency.

Bagaimanapun, penerimaan amaran masih bergantung pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G.

Menurut MCMC, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem ini beroperasi dengan lancar sebelum diperluaskan sepenuhnya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web rasmi MySiren.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved