MySiren tidak perlukan data mudah alih atau Wi-Fi, penerima hanya perlu kemas kini telefon

LocalTechnology
27 Nov 2026 • 8:17 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: MySiren tidak perlukan data mudah alih atau Wi-Fi, penerima hanya perlu kemas kini telefon

KUALA LUMPUR - Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia atau MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyampaikan notifikasi amaran melalui saluran siaran rangkaian mudah alih yang mengambil bahagian justeru ia tidak memerlukan data mudah alih atau Wi-Fi.

Sistem ini menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyiarkan amaran keselamatan penting kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas melalui rangkaian 4G dan 5G.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cell Broadcast tidak memerlukan data mudah alih atau langganan berbayar yang aktif.

Justeru peranti tanpa kad SIM aktif atau yang taliannya disekat dan digantung akibat bil tertunggak, mungkin masih boleh menerima amaran itu jika kekal bersambung ke rangkaian mudah alih 4G atau 5G yang mengambil bahagian.

Berdasarkan soalan-soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan MCMC, penerimaan amaran bagaimanapun bergantung pada keserasian peranti, sistem pengendalian, tetapan amaran kecemasan serta keupayaan peranti untuk bersambung ke rangkaian mudah alih yang serasi.

Bolehkah penerima menerima amaran MySiren ketika bersambung ke WiFi Starlink?

Amaran MySiren dihantar melalui rangkaian mudah alih, bukan perkhidmatan Wi-Fi berasaskan satelit seperti Starlink dan jika penerima berada di luar liputan rangkaian mudah alih dan hanya bergantung pada Starlink atau sambungan Wi-Fi satelit lain, mereka tidak boleh menerima amaran MySiren.

Pendaftaran, langganan atau aplikasi khusus juga tidak diperlukan.

Bagaimanapun memandang MySiren ialah saluran amaran kecemasan tambahan, orang ramai masih perlu memantau sesawang rasmi, radio, televisyen, media sosial yang disahkan, siren, pengumuman setempat dan arahan daripada perkhidmatan kecemasan.

Image from: MySiren tidak perlukan data mudah alih atau Wi-Fi, penerima hanya perlu kemas kini telefon

Bagaimana bentuk amaran yang dikeluarkan MySiren?

Amaran itu akan dipaparkan dengan jelas pada skrin, disertai bunyi yang menarik perhatian dan getaran namun cara dipaparkan mungkin berbeza mengikut model peranti, sistem pengendalian dan kategori amaran.

“Sebagai contoh, Extreme Alert akan menghasilkan bunyi amaran kuat seperti siren berserta getaran, manakala Active Shooter Alert tidak menghasilkan bunyi atau getaran sementara National Alert dan Extreme Alert akan menghasilkan bunyi dan getaran walaupun telefon berada dalam mod senyap atau Jangan Ganggu'' katanya.

MCMC berkata, amaran MySiren boleh disampaikan melalui gabungan teks pada skrin, bunyi yang khusus dan getaran, bergantung pada keupayaan peranti dan pengguna yang mempunyai masalah pendengaran atau penglihatan juga boleh memanfaatkan ciri kebolehcapaian terbina dalam, seperti pembaca skrin dan tetapan pemberitahuan yang boleh disesuaikan.

“Pengguna digalakkan supaya mengaktifkan dan menyemak tetapan kebolehcapaian serta pemberitahuan peranti agar amaran boleh diterima dalam bentuk yang memenuhi keperluan mereka,’’ katanya.

Adakah penerima akan menerima amaran jika telefon dimatikan, dalam mod penerbangan atau di luar kawasan liputan?

Tidak. Telefon mesti dihidupkan dan bersambung ke rangkaian mudah alih untuk menerima amaran MySiren. Jika telefon dimatikan, berada dalam mod penerbangan atau di luar liputan rangkaian mudah alih, penerima tidak akan menerima amaran.

Bagaimanapun jika amaran masih disiarkan apabila telefon anda bersambung semula ke rangkaian, anda mungkin menerimanya ketika itu.

Peranti dwi-SIM mungkin menerima amaran melalui mana-mana rangkaian mudah alih yang bersambung dengannya.

Bagai pelawat asing yang menggunakan perkhidmatan perayauan (roaming) pula, peranti itu mungkin menerima amaran jika bersambung ke rangkaian mudah alih 4G atau 5G di Malaysia dan menyokong CBS.

Bolehkah penipu menghantar amaran melalui MySiren?

Hanya agensi yang diberi kuasa boleh mengeluarkan amaran MySiren melalui sistem Cell Broadcast rasmi namun berhati-hati kerana penipu mungkin cuba meniru amaran kecemasan melalui SMS, aplikasi pemesejan, e-mel atau media sosial.

“Jika anda menerima mesej mencurigakan yang mendakwa sebagai amaran MySiren, jangan klik sebarang pautan atau berkongsi maklumat peribadi atau kewangan sebaliknya laporkan mesej berkenaan kepada engendali rangkaian mudah alih anda dan sahkan maklumat melalui saluran rasmi kerajaan atau agensi pengurusan bencana,’’ kata MCMC.

Bilakah MySiren akan tersedia?

MySiren dijangka tersedia untuk kegunaan operasi menjelang akhir tahun tahun ini namun tertakluk kepada penyempurnaan ujian dan penilaian kesiapsiagaan yang diperlukan.

Menurut MCMC, ujian amaran awam di seluruh negara dijadualkan pada 29 November bagi menilai prestasi sistem, mengenal pasti sebarang isu teknikal serta menilai cara amaran disiarkan dan diterima.

“Ujian tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan operasi dan tidak dengan sendirinya bermaksud sistem telah beroperasi sepenuhnya dan ia boleh dilaksanakan secara berkala bagi memastikan sistem kekal berkesan dan boleh dipercayai.

Bolehkah amaran MySiren dimatikan?

National Alert dan Extreme Alert tidak boleh dinyahaktifkan melalui tetapan peranti namun pengguna mempunyai pilihan untuk menyahaktifkan kategori amaran lain, bergantung pada model peranti dan sistem pengendalian.

Memandangkan amaran MySiren memberikan maklumat penting yang boleh membantu melindungi nyawa semasa kecemasan, penerima amat digalakkan untuk memastikan semua tetapan amaran kecemasan diaktifkan (kecuali Test Alert) demi keselamatan anda.

Menurut MCMC, MySiren hanyalah satu daripada beberapa saluran yang digunakan oleh Kerajaan untuk menyampaikan amaran kecemasan kepada orang ramai dan bagi mereka yang tidak mempunyai telefon serasi masih boleh mendapatkan maklumat kecemasan melalui saluran lain yang digunakan oleh agensi pengurusan bencana, termasuk SMS, televisyen, radio, laman sesawang rasmi Kerajaan dan platform media sosial.

Bergantung, katanya, pada keadaan dan lokasi, amaran juga boleh disampaikan melalui siren, sistem siar raya atau petugas tindak balas kecemasan setempat.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet, penerima boleh mendapatkan maklumat menerusi aplikasi MyDIMS yang dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), atau melayari portalbencana.nadma.gov.my untuk maklumat dan perkembangan bencana terkini.

Maklumat juga boleh disampai menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melalui aplikasi myCuaca dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui aplikasi MyPublicInfoBanjir.

Untuk maklumat rasmi dan perkembangan terkini mengenai MySiren, sila layari www.mcmc.gov.my/mysiren dan rujuk saluran komunikasi yang disahkan milik MCMC, NADMA serta pihak berkuasa berkaitan yang lain. - 27 November, 2026

The post MySiren tidak perlukan data mudah alih atau Wi-Fi, penerima hanya perlu kemas kini telefon appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved