Saluran televisyen Enjoy TV5 tidak lagi boleh ditonton melalui platform MYTV selepas syarikat itu menghentikan siaran berkenaan. Perubahan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan penonton setia yang sebelum ini mengikuti pelbagai program melalui saluran itu.

Tiada alasan rasmi diberikan berhubung penamatan siaran Enjoy TV5 di platform MYTV sebaliknya hanya notis ringkas diterbitkan melalui media sosial rasmi. Tindakan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen, dengan sebahagian penonton meluahkan rasa kecewa serta mempersoalkan sebab di sebalik keputusan tersebut.

Antara komen yang ditinggalkan termasuk rungutan mengenai perkhidmatan televisyen yang dilihat semakin kerap menutup saluran. Penonton turut menyuarakan kebimbangan bahawa jika keadaan berterusan, lama-kelamaan tiada lagi saluran untuk ditonton. Mereka berharap agar perkhidmatan televisyen dipertingkatkan dan bukannya terus menamatkan siaran. Ada juga yang mempersoalkan sama ada saluran lain selepas ini akan turut ditamatkan.

Untuk makluman, Enjoy TV5 menyiarkan pelbagai jenis filem termasuk filem tempatan dari Malaysia dan Singapura, filem Inggeris dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, filem China dan Hong Kong, filem Indonesia serta filem Korea. Saluran ini telah memulakan siaran percubaan pada 10 Mei 2025 sebelum dilancarkan secara rasmi. Ia juga bersiaran selama 24 jam setiap hari, namun kini telah ditamatkan sepenuhnya.
Sumber – Facebook

