Na'imah, dua anak dipercayai berada di luar negara - JSJ

LocalPolitics
26 May 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Na'imah, dua anak dipercayai berada di luar negara - JSJ
M Kumar

KAJANG - Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid serta dua anaknya yang sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan sabotaj kerajaan dipercayai masih berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, hasil semakan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati kesemua mereka telah meninggalkan negara sejurus selepas laporan polis dibuat.

Katanya, pihak polis telah cuba menghubungi mereka sejak awal siasatan namun mendapati ketiga-tiganya sudah berada di luar negara.

“Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kertas siasatan telah lengkap dan kini dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk arahan serta nasihat lanjut.

Tambahnya, pihak polis masih menunggu maklum balas daripada AGC.

Mac lalu, Na'imah bersama dua anaknya dan peguam keluarga itu memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dua yang lain bagi mencabar siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.

Na’imah sebelum itu juga telah menafikan terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.