Nabila Razali Sambung Semula Kisah Cinta Dengan MK Dalam ‘Aku Terluka’ 

Music
9 Dec 2022 • 7:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nabila Razali - Gambar ihsan Universal Music Malaysia

Penyanyi terkenal, Nabila Razali sekali lagi muncul dengan single berentak balada berjudul ‘Aku Terluka’  hasil kolaborasi pertama komposer Amylea Azizan dan MFMF.

Menurut Nabila, ‘Aku Terluka’ merupakan lagu ketiga terbitan syarikat produksinya, Nabila Razali Entertainment serta single ketujuh buat dirinya dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

image is not available

“Selepas ‘Putus’ yang dilancarkan pada hari lahir saya tahun lepas, saya kembali dengan lagu baharu yang merupakan kesinambungan kepada lagu ‘Peluang Kedua’. 

“Saya rasa ada yang perlu saya jelaskan dalam lagu ‘Peluang Kedua’ dan semuanya ada dalam lagu ‘Aku Terluka’ ini. Saya berharap peminat dan pendengar muzik Malaysia dapat menerima lagu ini seperti lagu-lagu saya yang lain sebelum ini,” katanya. 

image is not available

Muzik video (MV) berkenaan sekali lagi menampilkan, pelakon dan penyanyi rap, MK K-Clique yang sebelum ini juga pernah berkolaborasi dalam muzik video lagu ‘Peluang Kedua’.

Nabila mengulas, pemilihan MK adalah bagi meneruskan jalan cerita untuk lagu ‘Peluang Kedua’ yang dilancarkan baru-baru ini.

“Saya sengaja memilih MK sekali lagi untuk membintangi muzik video lagu baharu ini kerana sambutan luar biasa peminat terhadap lagu dan muzik video ‘Peluang Kedua’. 

“Muzik video ‘Aku Terluka’ akan menjawab pertanyaan ramai tentang pengakhiran mereka dalam lagu ‘Peluang Kedua’ itu,” ujarnya.

image is not available

Lagu ‘Aku Terluka’ mengisahkan tentang sebuah percintaan yang tidak kesampaian kerana pemergian sang kekasih buat selamanya. Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan  gadis tersebut selain reda dan teruskan hidup bersama memori percintaan mereka.

Single ‘Aku Terluka’ boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 7 Disember ini. – Getaran, 9  Disember 2022