Nadarajah sudah 20 tahun tabur khidmat di Gadek

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nadarajah sudah 20 tahun tabur khidmat di Gadek

GADEK: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S. Nadarajah bukanlah nama baharu dalam kerja-kerja kemasyarakatan apabila sudah lebih 20 tahun menabur bakti dan membantu penduduk di sini.

Pengalaman luas Nadarajah dalam mendekati masyarakat dan memahami permasalahan penduduk menjadi antara ke­lebihan dimilikinya.

Beliau dikenali sebagai seorang yang mudah didekati, merendah diri dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa me­ngira latar belakang.

Meskipun pertama kali diketengahkan sebagai calon pilihan raya, khidmatnya kepada penduduk setempat sudah lama terbukti menerusi pelbagai aktiviti khidmat masyarakat.

Nadarajah berkata, kesedia­an mendengar, memahami dan menyelami permasalahan rak­yat menjadi pegangannya dalam usaha memastikan setiap keluhan penduduk tidak dipandang ringan.

Beliau berkata, seseorang wakil rakyat perlu memiliki ke­sabaran untuk mendengar setiap aduan masyarakat, termasuk teguran yang disampaikan dalam keadaan marah atau beremosi.

Menurutnya, setiap luahan penduduk perlu diterima secara terbuka kerana di sebalik kemarahan itu mungkin terdapat permasalahan yang sekian lama belum mendapat penyelesaian.

Katanya, tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar mende­ngar aduan, sebaliknya memahami punca sesuatu masalah sebelum mencari jalan terbaik untuk membantu mereka yang terkesan.

“Walaupun kadang-kadang ada penduduk marah, kita perlu mendengar kerana kemarahan itu bukan ditujukan kepada kita sebaliknya berpunca daripada perkara yang mereka tidak dapat, tidak capai atau belum dapat ditunaikan.

“Bagi menangani semua ini dengan berkesan wakil rakyat perlu jadi rakyat,” katanya ketika ditemui.

Nadarajah yang juga Timbalan Pengerusi MIC Melaka berdepan saingan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), K. Jegasilan; calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Laveen dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Laila Norinda Maon.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, BN melalui Datuk VP. Shanmugam merampas semula Gadek daripada PH dengan majoriti 599 undi. – UTUSAN 

The post Nadarajah sudah 20 tahun tabur khidmat di Gadek appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved