
PONTIAN – Penduduk mendakwa sebuah jentera yang sebelum ini digunakan untuk kerja-kerja menambak dan meratakan tanah di tapak pembuangan sisa bahan binaan di Kampung Sungai Senai, Mukim Sungai Karang, di sini telah dikeluarkan meskipun kawasan itu sudah disita.
Lebih menimbulkan persoalan apabila sebuah laluan baharu dipercayai dibina bagi membolehkan jentera berkenaan dibawa keluar dari kawasan yang dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) pada 21 Ogos lalu.
Yang Dipertuanya, Sulaiman Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan pemantauan berhubung aduan penduduk mengenai perkara itu.
Menurutnya, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap arahan penyitaan yang dikeluarkan sebelum ini.
“Kami akan menghantar pegawai penguat kuasa ke lokasi berkenaan untuk menyiasat bagaimana jentera itu boleh dikeluarkan tanpa pengetahuan pihak MPPn,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada 21 Ogos lalu, MPPn menyita 14 lokasi yang dipercayai dijadikan tapak pembuangan sisa bahan binaan dari Singapura di beberapa kampung di Mukim Sungai Karang, Mukim Pontian, Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja dan Mukim Serkat.
Tindakan tersebut diambil mengikut Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bagi menghentikan aktiviti penambakan tanah yang dipercayai dijadikan tapak pembuangan sisa bahan binaan sejak tahun lalu.
Kawasan yang dikenakan tindakan turut dipasang pita kuning dan notis penyitaan sebagai tanda larangan terhadap sebarang aktiviti di lokasi berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Daud Saing, 59, berkata, jentera yang sebelum ini digunakan untuk kerja-kerja menambak dan meratakan tanah di tapak berkenaan didapati sudah tiada sejak kebelakangan ini.
“Penduduk turut mendapati satu laluan baharu dipercayai dibina bagi membolehkan jentera itu dibawa keluar selepas laluan masuk ke kawasan berkenaan dihalang menggunakan dua bongkah batu besar.
“Kami berharap MPPn dapat menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada jentera itu dibawa keluar mengikut prosedur atau sebaliknya ketika tapak berkenaan masih dalam status sitaan,” katanya.
Kosmo! menerusi laporan eksklusif pada 8 Ogos lalu melaporkan, konvoi treler yang membawa sisa binaan dari Singapura untuk dibuang di daerah ini sejak dua tahun lalu bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menyebabkan rumah penduduk retak.
Susulan itu, pada 20 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura mengarahkan semua penghantaran sisa bahan binaan atau Construction and Demolition dari negara itu ke Pontian dihentikan serta-merta.
The post Jentera ‘ghaib’ dari tapak buangan sisa binaan Singapura appeared first on Kosmo Online.




