Nadir Al-Nuri kesal kanak-kanak Arab dilayan kasar sekumpulan lelaki

16 Jul 2026 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nadir Al-Nuri kesal kanak-kanak Arab dilayan kasar sekumpulan lelaki
Hantaran Muhammad Nadir Al-Nuri di Facebook beliau pada Khamis.

SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman meluahkan rasa kesal terhadap satu rakaman video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berbangsa Arab dilayan secara kasar oleh sekumpulan individu dewasa selepas cuba meminta derma.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, layanan sedemikian sangat tidak berperikemanusiaan dan boleh diibaratkan seperti menindas golongan yang tidak berdaya.

"Tahniah tukang ‘like’, ‘share’ dan bertepuk tangan untuk tindakan-tindakan yang macam ni. Melayan manusia macam binatang, menghina orang macam tak bertuhan dan boleh buat sesuka hati ke atas golongan lemah.

“Tahniah juga kepada para asatizah (guru-guru agama) dan kalian yang takut nak bersuara sebab takut kena kecam dengan puak-puak ni," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau turut memuat naik rakaman video berdurasi 1 minit lapan saat dipercayai berlaku di ibu negara itu yang memaparkan seorang kanak-kanak diperlakukan dengan kasar oleh beberapa lelaki dewasa.

Beliau turut memetik sepotong ayat al-Quran sebagai peringatan supaya umat Islam tidak gentar mempertahankan kebenaran meskipun berdepan kritikan.

Menurutnya, emosi yang dizahirkan itu berpunca daripada rasa simpati apabila membayangkan nasib kanak-kanak di Gaza yang menjadi mangsa kekejaman peperangan.

"Ya, saya emosi sebab saya terbayang sang Zionis melakukan anak-anak saya sebegini ketika mereka lari dari kawasan perang dan menjadi pelarian di negara sendiri.

"Nak tunjuk hero, bukan dengan kanak-kanak walau apa pun salah mereka. Nak tunjuk kuat bukan dengan orang yang tak ada hak dan takut nak bertindak balas," tegasnya.

Justeru, Muhammad Nadir Al-Nuri mengingatkan bahawa setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH SWT.

“Kalian mungkin hero untuk sebahagian makhluk di dunia, tetapi di akhirat bukan kalian yang jatuhkan hukuman. Semoga ALLAH balas secepatnya,” kata beliau.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved