Nafas hantar 14,000 tan metrik baja, bantu 40,000 pesawah

4 Sep 2026 • 1:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nafas hantar 14,000 tan metrik baja, bantu 40,000 pesawah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menggerakkan operasi serta-merta bagi menyelesaikan baki pembekalan Baja Sebatian NPK Tambahan, kepada 40,000 pesawah terjejas di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Arriffin berkata, langkah menerusi anak syarikatnya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) diambil, susulan keputusan kerajaan untuk memastikan isu kelewatan bekalan baja berkenaan diselesaikan dengan pantas, tanpa menjejaskan aktiviti penanaman padi.

“Nafas memahami bahawa Baja Sebatian NPK Tambahan merupakan input penting kepada pesawah dan sebarang kelewatan boleh memberi kesan kepada kelancaran aktiviti pengeluaran padi.

“Atas tanggungjawab tersebut, kami mengambil pendekatan segera dan tersusun, untuk memastikan baki bekalan disalurkan kepada pesawah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Faris berkata, sebanyak 14,000 tan metrik (MT) baja telah disediakan bagi tujuan pembekalan secara berperingkat, yang melibatkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Beliau berkata, penghantaran bekalan bermula hari ini mengikut jadual ditetapkan, dengan agihan awal sebanyak 600 MT dihantar pada hari pertama.

Muhammad Faris berkata, Nafas akan bekerjasama rapat dengan MADA, PPK dan pihak berkaitan bagi pemantauan rapi pergerakan stokis, sehingga baja sampai ke tangan pesawah.

“Fokus kami bukan sekadar menghantar baja, tetapi memastikan baja tersebut benar-benar sampai kepada pesawah yang memerlukan. Setiap peringkat pembekalan akan dipantau bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan mengikut jadual.” katanya.

Nafas turut memberi jaminan bahawa penyelarasan dengan PPK dan pihak MADA akan diperkukuh sepanjang tempoh pembekalan, bagi mengenal pasti sebarang isu operasi dengan pantas dan mengambil tindakan pembetulan tanpa menjejaskan penerimaan bekalan oleh pesawah.

“Langkah tersebut selaras dengan komitmen Nafas untuk terus menjadi rakan penyelesaian kepada kerajaan dan komuniti peladang, khususnya dalam memastikan rantaian bekalan input pertanian strategik kekal kukuh serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. – BERNAMA

The post Nafas hantar 14,000 tan metrik baja, bantu 40,000 pesawah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved