Isu kelewatan Baja 3 MADA selesai, penghantaran baki bekalan bermula hari ini

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengumumkan penyelesaian isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah MADA

Isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran baki bekalan itu dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 10 hari.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau mengemukakan surat kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon supaya perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan tersebut ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.

Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mengambil alih tanggungjawab menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.

Mohamad berkata, Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan berkenaan, sekali gus membolehkan penghantaran baki bekalan kepada pesawah terjejas dimulakan hari ini.

Baca juga:

Beliau turut mengarahkan MADA supaya memantau proses penghantaran secara rapi sehingga bekalan benar-benar diterima oleh pesawah.

Katanya, tiada ruang untuk kelewatan berulang kerana Baja 3 merupakan keperluan asas dalam pengeluaran padi selain berkait rapat dengan sumber pendapatan pesawah.

Terdahulu, aktivis kemanusiaan dan wartawan veteran, Zainal Rashid atau ZRA, menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan bekalan Baja 3 di Kedah dan Perlis serta menggesa isu berkenaan diberi perhatian serius.

Beliau mendakwa masih ramai pesawah belum menerima bekalan baja walaupun tempoh pengagihan kecemasan telah berlangsung, selain menyatakan terdapat tanaman yang hampir memasuki tempoh tuaian. ZRA turut menyatakan kesediaan membantu pesawah sekiranya mereka memilih untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah bagi mendapatkan penyelesaian melalui tindakan perundangan.

The post Isu kelewatan Baja 3 MADA selesai, penghantaran baki bekalan bermula hari ini appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved