
GURUN – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyempurnakan penghantaran penuh 10,500 tan metrik (MT) Baja Padi Sebatian Tambahan bagi Musim 1 ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tepat dalam tempoh 10 hari.
Operasi bersepadu menerusi anak syarikat Nafas, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) itu digerakkan serta-merta sejurus menerima arahan pembekalan pada 3 September lalu.
Penyaluran berskala besar tersebut diagihkan terus kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA selaku stokis strategik bagi menjamin input pertanian sampai ke tangan pesawah mengikut jadual penanaman yang kritikal.
Melalui penjajaran logistik tanpa henti, sebanyak 93 peratus atau 9,778 MT (bersamaan 391,116 beg) berjaya disalurkan ke peringkat stokis setakat petang semalam, sebelum baki keseluruhan 10,500 MT selesai diagihkan sepenuhnya tengah hari ini.
Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Arriffin berkata, kepantasan pelaksanaan itu membuktikan kesiapsiagaan ekosistem Nafas dalam bertindak balas terhadap keperluan mendesak di peringkat ladang.
“Bagi Nafas, 10,500 MT ini adalah amanah untuk kebajikan pesawah. Kejayaan menepati garis masa 10 hari ini membuktikan apabila rantaian Nafas, MNFSB, MADA dan rangkaian 27 PPK bergerak serentak, kita mampu merungkai permasalahan demi membela kepentingan pesawah.
“Ukuran sebenar operasi kami adalah kualiti produk dan ketepatan masa,” kataya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 2 September lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan MNFSB. – KOSMO! ONLINE
The post Nafas selesai hantar 10,500 tan metrik baja tepat 10 hari appeared first on Kosmo Online.






