Nafi Seleweng Dana, Aman Palestin Dakwa Jongkong Emas Untuk Pelaburan

Entertainment
28 Nov 2023 • 12:17 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Heboh sejak minggu lalu apabila akaun sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyeleweng dana awam.

Malah, turut dilaporkan empat jongkong emas bergred 999.9 antara barangan yang dirampas SPRM semasa siri serbuan.

Susulan isu itu, pihak Aman Palestin mengadakan sidang akhbar malam tadi menafikan jongkong emas yang dirampas adalah untuk menyeleweng dana sumbangan awam, sebaliknya ia bertujuan untuk pelaburan.

Peguam Aman Palestin, Rafique Rashid berkata, jongkong emas itu adalah suatu bentuk pelaburan dan ia dibenarkan berdasarkan kuasa yang diberikan ahli lembaga pengarah Aman Palestin.

image is not available

“Dakwaan itu berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ada 16 kuasa diberikan kepada ahli lembaga pengarah Aman Palestin dan kuasa untuk melabur itu ada dalam pelbagai mekanisme.

“Ia tidak salah dan lagi pun emas itu bernilai dan berharga serta mudah untuk ditukarkan kepada tunai sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Dakwaan itu meleset, tidak betul dan tidak berintegriti selain berniat jahat,” katanya.

Ujarnya, Aman Palestin sentiasa melakukan pengauditan setiap tahun dan kali terakhir dilakukan pada tahun 2021.

Aman Palestin beri SPRM 3 hari

Mengulas lanjut, pihaknya memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya atau berdepan tindakan undang-undang.

Katanya, kesemua aset yang dibekukan itu semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin.

“Ia bukanlah bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin, malah kesemua aset ini diperoleh dengan hasil yang halal dan bukan daripada sumber yang haram,” katanya.

Tegasnya, Aman Palestin mempunyai kuasa antara lainnya menggunakan dana-dana yang dikutip dan melaburkan dalam pelbagai pelaburan patuh syariah serta patuh undang-undang.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.