Nahas 15 kenderaan: ‘Disebabkan lumba haram atau tidak, belum dapat disahkan’

19 Sep 2026 • 4:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nahas 15 kenderaan: ‘Disebabkan lumba haram atau tidak, belum dapat disahkan’

BATU GAJAH – Polis belum dapat mengesahkan nahas membabitkan kira-kira 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, awal pagi tadi berpunca daripada aktiviti lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya masih menyiasat pergerakan kumpulan penunggang motosikal berusia antara 19 hingga 25 tahun itu sebelum dapat menentukan punca sebenar kejadian.

Menurutnya, polis juga belum mengambil keterangan daripada penunggang yang masih menerima rawatan di hospital bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian.

“Kita belum ambil keterangan mereka yang sedang dirawat. Apabila keadaan mengizinkan untuk kami mengambil keterangan, daripada keterangan itu kita boleh merungkai apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita dan Sesi Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak di Dewan Bandaran Kinta, di sini, hari ini.

Beliau berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 3.35 pagi selepas sebuah kereta terlebih dahulu terbabit dalam kemalangan dan berada di laluan kenderaan lain.

Katanya, keadaan pencahayaan yang mungkin tidak mencukupi di lokasi dipercayai menyebabkan kumpulan motosikal terbabit melanggar kenderaan yang sudah berada di laluan berkenaan.

“Lebih awal daripada situ sudah ada kemalangan kereta yang menyebabkan kereta itu berada di laluan-laluan kenderaan yang lain.

“Dalam keadaan mungkin pencahayaan yang tidak cukup terang, ia menyebabkan segerombolan anak muda ini menunggang motosikal dan melanggar kereta-kereta yang telah ada di situ,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penunggang motosikal itu bergerak dalam jumlah yang ramai dan dipercayai pada jarak yang rapat antara satu sama lain sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku secara berantai.

“Lebih kepada mereka ini ramai dan rapat. Bila mula satu kena, yang lain turut kena,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan difahamkan datang dari kawasan 7-Eleven di Meru Jaya, namun polis masih belum mengetahui destinasi mereka ketika kejadian.

Katanya, lokasi nahas berkenaan juga bukan antara laluan yang paling popular bagi aktiviti lumba haram berdasarkan rekod polis, dengan terdapat dua lokasi lain yang lebih kerap dikenal pasti bagi aktiviti berkenaan di Ipoh.

“Untuk lebih awal saya cakap mereka merempit, saya tidak dapat nak jawab lagi. Mungkin mereka tengah malam balik dalam tempoh yang ramai dan lebih awal daripada itu berlaku kemalangan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjalankan 408 operasi berkaitan aktiviti lumba haram di Perak sepanjang tahun ini.

Katanya, operasi berkenaan membawa kepada 404 tangkapan, dengan lebih 200 daripadanya dilakukan di Ipoh.

Dalam kejadian itu, tiga penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, sementara sembilan lagi penunggang motosikal dirawat di hospital. – KOSMO! ONLINE

The post Nahas 15 kenderaan: ‘Disebabkan lumba haram atau tidak, belum dapat disahkan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved