
IPOH – Tiga lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan 15 buah kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang melibatkan 12 buah motosikal dan tiga kereta itu kira-kira pukul 3.35 pagi daripada orang awam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut, dua orang lelaki berusia 19 tahun dan 20 tahun iaitu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sembilan lelaki yang juga penunggang motosikal berusia lingkungan 19 tahun hingga 25 tahun pula mengalami kecederaan yang belum dikenal pasti dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Najib berkata, seorang lelaki berusia 19 tahun daripada penunggang motosikal yang menerima rawatan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai tiga orang, manakala sembilan orang penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan.
“Ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan urutan sebenar kejadian,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
“Pihak polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga maut dalam kemalangan libatkan 15 kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang appeared first on Kosmo Online.





