Nahas 3 Kenderaan Di Ayer Keroh: Ibu Bapa Sempat Buat Sambutan Hari Lahir Untuk 3 Anak Secara Serentak

Entertainment
24 Dec 2024 • 11:35 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Keluarga yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Ayer Keroh, Melaka semalam dikatakan sempat membuat sambutan hari lahir secara serentak terhadap tiga anak mereka yang berusia antara 7 hingga 2 tahun.

Acara hari lahir itu merupakan kenangan terakhir buat mangsa yang maut iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32 tahun; isterinya Fadzlenna Ramli, 32 tahun dan anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2 tahun.

Menurut Bernama, adik Khairul Ikhwan, Nur Aqilah Mazupi, meskipun ketiga-tiga anak saudaranya dilahirkan pada bulan Februari dan Disember, bagaimanapun sambutan ulangtahun mereka telah diadakan serentak baru-baru ini.

Dalam kemalangan tragis yang berlaku pada Isnin malam, Khairul Ikhwan dan Fadzlenna yang masing-masing bekerja di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang sebagai pembantu perubatan maut di tempat kejadian bersama anak dan bapa kepada Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66 tahun.

Sementara anak sulung pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, cedera parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Manakala anak kedua, Nur Sofea Humaira, 4 tahun, dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Zon Kuning.

image is not available
Rumah keluarga Khairul Ikhwan

Menurut Malaysia Gazette, jenazah Khairul Ikhwan dan isterinya, Fadzlenna serta anak bongsu mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi.

Takziah buat keluarga mangsa. Al fatihah…

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.