
Nahas Bas UPSI: Bapa Pelajar Hiba Terima Ijazah Milik Anak
Istiadat Konvokesyen merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu oleh para graduan demi menggenggam segulung ijazah.
Ia setelah penat bersengkang mata mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan. Lebih-lebih lagi, hari penuh bersejarah ini disaksikan oleh kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga yang turut hadir.
Namun berbeza dengan suasana hiba yang menyelubungi Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-27 sesi pertama apabila dua penerima ijazah secara anumerta universiti itu hari ini.
Dua penerima ijazah berkenaan merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu.
Dilihat ibu bapa (waris) kepada kedua-dua Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22 hadir bagi menerima ijazah berkenaan yang disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim.
Menerusi siaran langsung istiadat yang dikongsikan di YouTube @AdminUPSITV, memaparkan riak wajah bapa Allahyarham Nurly dan Fatin sebak menjadi pengganti kepada anak perempuan mereka.


Untuk makluman, Allahyarham Nurly Shahirah Azman penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dengan Kepujian manakala Allahyarham Fatin Nasrien Fadli penerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan pendidikan.
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).
BACA: Nahas UPSI: Syarikat Gagal Patuhi Syarat Lesen Didenda RM20,000 – MOTAC
BACA: Nahas Pelajar UPSI: Nurly Shahirah Hafaz 30 Juzuk, Tulis Tangan Al-Quran Demi Kuatkan Hafalan
Sumber: Youtube @AdminUPSITVThe post Nahas Bas UPSI: Bapa Pelajar Hiba Terima Ijazah Milik Anak appeared first on Siakap Keli.


