Nahas Elmina: Allahyarham Muhamad Hafiz anak yang baik - Ibu

19 Aug 2023 • 10:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jamaliah(kiri) ketika ditemui di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang di sini pada Sabtu.

KLANG - [DIKEMAS KINI] "Masih terngiang lagi perbualan dengan Allahyarham, demikian luah ibu kepada Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, penunggang p-hailing yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.

Jamaliah Ismail,53, berkata, anak sulungnya itu seringkali menghubungi dirinya dan suami.

"Kali terakhir arwah hubungi kami berdua pada minggu lalu, dia ada bertanyakan khabar kami berdua, itu sahaja.

"Sebelum ini, arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan, sikapnya seperti biasa, seorang yang lembut dan baik terhadap kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Sabtu.

Sementara itu ayah Allahyarham, Muhamad Saleh Othman, 57, berkata, jenazah sebelum itu akan diuruskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan oleh pihak JAIS dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani.

"Insya-ALLAH, jenazah akan dikebumikan hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah Allahyarham ini," katanya

Pada Khamis, sebuah pesawat dari Langkawi menuju ke Subang dilaporkan terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.

Polis terdahulu mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat jenis jet peribadi yang terhempas kira-kira jam 2.40 petang.

ARTIKEL BERKAITAN