Nahas Elmina: Grab Malaysia bantu keluarga Sharipuddin

18 Aug 2023 • 11:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Grab Malaysia telah menghubungi keluarga Sharipuddin Shaari yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, untuk memberi sokongan dan bantuan sewajarnya.

Grab Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan di samping faedah perlindungan insurans, pihaknya juga akan memastikan waris mangsa menerima lebih banyak bantuan lain.

Ia termasuk bayaran daripada dana Grab Partner Zakat serta sumbangan Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar, menurut kenyataan itu.

"Keluarga Grab mengucapkan takziah kepada keluarga, waris dan rakan-rakan Sharipuddin yang merupakan seorang rakan penghantar berdedikasi. Sharipuddin merupakan individu yang rajin dan kami seluruh komuniti rakan penghantar berduka cita kerana insiden itu berlaku ketika Allahyarham sedang bekerja keras mencari rezeki halal.

"Kami dapat merasakan kesedihan yang dilalui semua ketika ini. Kami memanjatkan doa buat keluarga Allahyarham dan keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas tragis di Elmina,” menurut kenyataan itu.

Sharipuddin, 53, merupakan seorang daripada 10 terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor petang semalam.

Tragedi itu turut mengorbankan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN