Nahas Elmina: Ibu tak lalu makan teringat Sharipuddin

18 Aug 2023 • 7:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Maznah menunjukkan gambar Allahyarham Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis antara 10 mangsa yang maut dalam tragedi nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis.

ARAU - Ibu kepada pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang maut dalam tragedi nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis belum mengetahui anaknya telah meninggal dunia.

Menurut sepupu Allahyarham Sharipuddin, Maznah Abdullah, 68, ibu saudaranya, Hatun Abu bakar, 80 juga sejak beberapa hari lalu sering menyebut nama anak ketiga daripada empat beradik itu selain tiada selera untuk makan.

Jelasnya, Hatun yang dipanggil ‘Mak Ngah' oleh mereka telah ke Kuala Lumpur awal pagi Jumaat namun belum mengetahui nahas yang menimpa Allahyarham.

"Dia tak lalu makan sebut nama anak dia Sharipuddin, kita tidak tahu tapi itu lah naluri ibu. Dia teringat, dia tak lalu makan. Saya panggil ‘Ngah’ nak makan apa, dia jawab apa pun tak nak, saya pergi rumah dia nak jamu lah makan tapi dia tak mau. Dia tak lalu dia teringat anak dia (Sharipuddin).

"Dia tak tahu apa berlaku di sana masa dia pergi (ke Shah Alam) pun sapa tak bagitau sebab dia ada sakit jantung," katanya.

Maznah berkata lagi, kali terakhir mereka berjumpa dan berkumpul ramai-ramai semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut selepas mendengar perkhabaran nahas tersebut apabila pihak berkuasa megesahkan turut melibatkan Sharipuddin.

"Allahyarham Sharipuddin berhijrah ke Kuala Lumpur selepas pasca Covid-19 sejak dua tahun lalu untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya akibat kekangan kerja di sini.

"Dia melakukan pelbagai kerja di sini termasuk pengawal keselamatan bagi mencari rezeki sebelum mengambil keputusan berhijrah ke sana," ujarnya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan Sharipuddin yang berasal dari Arau, Perlis antara 10 mangsa yang maut dalam tragedi nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis.

Dia meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, dan Nur Izzara Arissya, 9.

ARTIKEL BERKAITAN