
SHAH ALAM - Jalan utama Persiaran Elmina di Seksyen U16, di sini dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada petang Jumaat.
Timbalan Ketua Zon Shah Alam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Shamsol Maarif Saibani berkata, kerja-kerja pembersihan di laluan dua hala itu mula dijalankan kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi melibatkan tiga jentera.
"Teknik semburan dan cucian digunakan bagi membersihkan kawasan permukaan jalan dari kesan kebakaran akibat nahas pesawat ini," katanya kepada media di lokasi nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16 di sini pada Jumaat.
Katanya, hanya serpihan bangkai pesawat dan kereta masih berada berhampiran lokasi terbabit yang akan digunakan sebagai bahan bukti untuk siasatan pihak berkuasa terlibat pada Isnin ini.
"Selepas laluan ini dibuka, kawalan keselamatan 24 jam akan dijalankan pihak polis melibatkan lokasi bangkai pesawat dan kereta yang terlibat nahas," katanya.
Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.
ARTIKEL BERKAITAN
