
KUALA LUMPUR - Ibu kepada Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, juruterbang yang terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada Khamis lepas, menyifatkan anaknya itu sangat baik dan berbudi selain sentiasa menggunakan bahasa yang sopan ketika bertutur.
Mahanum Ismail, 67, berkata, Shahrul Kamal, 41, juga seorang anak yang suka berbincang dengannya jika ada sebarang masalah.
"Kadang-kadang dia kata kita (saya) fikirkan sangat masalah lepas, dia akan bagi nasihat. Dia akan kata apa salahnya adik nasihatkan mama," katanya kepada pemberita selepas jenazah Shahrul Kamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Hulu Klang hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian anaknya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim yang juga mentua Allahyarham turut hiba atas pemergian Shahrul Kamal dan menyifatkan menantunya itu seorang lelaki yang baik dan berbudi pekerti.
"Dia juga rakan yang baik, saya tidak tahu apa (amalan baik) beliau lakukan hingga membuatkan urusan pengebumiannya dipermudahkan dan ramai yang hadir untuk solat jenazah," katanya.
Shahrul Kamal meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki berusia 3 hingga 12 tahun. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
