Nahas Elmina: Pemandu e-hailing sempat bergurau dengan isteri buat kali terakhir

18 Aug 2023 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Seorang pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, yang maut selepas terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis sempat bergurau dengan isterinya melalui aplikasi WhatsApp beberapa jam sebelum kejadian.

Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang saudara terdekat mangsa yang menggunakan nama akaun Hazwani Hamdan di Facebook pada Jumaat.

Dalam pesanan ringkas berkenaan, arwah dilihat menghantar gambar menunjukkan luka dialaminya di bahagian muka akibat memakai cermin mata.

Arwah juga sempat bergurau dengan mengatakan kecederaan itu menyebabkan mukanya kelihatan ganas.

"Luka kena spek mata, baru sayang tau abg ganas," ujarnya pada jam 1.14 petang, Khamis.

Gurauan tersebut dibalas oleh isterinya selang satu minit kemudian.

"Ganas, tapi luka sikit mengadu dengan bini. Adoiii, hahahaha," katanya.

Sementara itu, melalui hantaran sama, pemilik akaun tersebut turut mendoakan sejahteraan Sharipuddin atau dikenali sebagai Pokcik Din.

"Ya ALLAH, Mami seharian duk ulas pasal nahas pesawat kat Elmina dengan dedi dari semalam, Tiba-tiba pagi tadi dapat berita, pemandu ehailing Grab yang turut sama terkorban dalam nahas tu orang yang kami kenal, Al- Fatihah Pokcik Din.

"Mohon semua kenalan mami dedi doakan semoga ALLAH ampunkan dosa-doa arwah. Semoga Acik Suriana Su dan anak-anak tabah atas kehilangan ketua keluarga, sabar banyak-banyak atas ujian dari ALLAH ini,"ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN